LONDON – Liverpool telah melengkapkan pembelian penyerang sensasi Uruguay, Darwin Nunez dari kelab Portugal, Benfica dengan kontrak selama enam tahun dan yuran perpindahan sejumlah £64 juta (RM338.89 juta).
Bintang berusia 22 tahun tersebut mampu menjadi pembelian rekod The Reds dengan yuran perpindahan berpotensi mencecah £85 juta (RM450.09 juta) bergantung kepada peningkatan pada syarat tambahan dalam perjanjian kedua-dua kelab.
Sebagai rekod, Nunez berjaya menjaringkan 34 gol dalam 41 penampilan bersama Benfica pada musim lepas.
“Saya sangat gembira dan berasa bersyukur berada di Liverpool. Sedia maklum, Liverpool adalah sebuah kelab yang besar. Saya mahu memenangi banyak piala di Liverpool.
“Saya pernah bermain menentang Liverpool dan saya juga banyak menyaksikan perlawanan mereka pada saingan Liga Juara-Juara dan ia adalah gaya permainan saya.
“Selain itu, terdapat beberapa pemain yang hebat di sini dan saya fikir ia akan sesuai dengan gaya permainan saya di sini,” kata Nunez.
Rekod pembelian termahal Liverpool ketika ini adalah bernilai £75 juta (RM397.14 juta) yang dibayar untuk menandatangani pemain pertahanan, Virgil van Dijk dari Southampton pada tahun 2018. – KOSMO ONLINE