fbpx

Kira-kira RM44 juta bina dan baiki rumah mangsa banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WAN ROSDY menyerahkan surat lantikan kontraktor bagi membina dan membaik pulih rumah mangsa banjir di Bentong hari ini.

BENTONG – Kira-kira RM44 juta diperuntukkan bagi membina dan membaik pulih rumah-rumah yang musnah dan rosak akibat banjir yang melanda negeri ini pada penghujung tahun lalu.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan daripada kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri serta sumbangan daripada Emiriah Arab Bersatu itu digunakan bagi membina 148 buah rumah baharu dan membaik pulih 3,948 unit rumah.

“Melalui peruntukan ini sebanyak 148 buah rumah akan dibina baharu dengan harga setiap buah rumah RM75,000 (tidak bertiang) dan RM100,000 (bertiang) manakala 3,948 unit rumah akan dibaik pulih dengan anggaran kos sehingga RM15,000 sebuah.

“Kerja-kerja verifikasi dan pembaikan kerosakan rumah-rumah mangsa bermula seawal Januari tahun ini yang dijangka akan selesai selewat-lewatnya Ogos 2022 manakala kerja-kerja bina baharu 148 buah rumah akan bermula bulan ini yang dijangka siap sepenuhnya selewat-lewatnya pertengahan September tahun ini,”katanya di sini hari ini.

Baru-baru ini Kosmo! melaporkan selepas hampir enam bulan diuji kejadian banjir besar, kehidupan penduduk di Kampung Chegar Medang di sini masih tidak banyak berubah berikutan mereka masih menanti kediaman yang rosak dalam kejadian bencana itu dibaiki semula.

Tinjauan Kosmo! mendapati rata-rata kediaman penduduk yang terkesan dengan kejadian tersebut masih belum dibaiki yang mana banyak pintu rumah yang pecah serta siling dan bumbung bocor tidak diganti.

Menurut Wan Rosdy, pelbagai agensi terlibat dalam pelaksanaan kerja-kerja bina baharu dan baik pulih rumah-rumah ini iaitu Pejabat Daerah dan Tanah, Jabatan Kerja Raya, Syarikat Perumahan Negara Berhad, PR1MA Malaysia, Felcra Bina dan Giat Mara.

Katanya kerajaan negeri juga telah melantik 90 kontraktor di seluruh negeri setakat ini bagi melaksanakan kerja-kerja tersebut manakala 13 kontraktor lagi akan dilantik dalam masa terdekat.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI