fbpx

Keluarga Adib tarik rayuan, tidak mahu panjang kes

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Allahyarham Muhammad Adib.

KUALA LUMPUR – Keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim anggota bomba yang meninggal dunia dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman memfailkan permohonan menarik balik rayuannya berhubung prosiding komital terhadap bekas Peguam Negara Tommy Thomas atas tuduhan menghina Mahkamah.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini oleh peguam cara yang mewakili keluarga Mohd. Adib dari Tetuan Mohd. Zubir Embong & Associates rayuan itu adalah berhubung tiga rayuan yang sedang berlangsung di Mahkamah Rayuan.

Pertama, rayuan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi menegaskan bahawa Hakim Koroner tiada bidang kuasa untuk mendengar dan menghukum seseorang, termasuk Tommy Thomas atas kesalahan menghina mahkamah.

Sementara dua lagi ialah, rayuan Mohd. Kassim, 66, bagi mencabar keputusan mahkamah tinggi yang memutuskan bahawa Tommy Thomas mempunyai hak merayu dan rayuannya diterima.

Bagaimanapun peguam itu berkata meskipun rayuan ditarik balik, tindakan itu sesekali tidak mengubah keputusan dan dapatan Mahkamah Koroner pada 27 September 2019 bahawa mangsa meninggal dunia kerana perbuatan jenayah. Kenyataan itu juga turut menjelaskan rayuan itu ditarik balik kerana pihak keluarga tidak mahu memanjangkan lagi perkara berkenaan.

“Pendirian keluarga arwah untuk menarik balik rayuan komital ini juga tidak bererti bahawa usaha mencari pembunuh arwah Adib tidak boleh diteruskan oleh Polis Diraja Malaysia kerana siasatan jenayah tiada had masa di sisi undang-undang.

“Perjuangan menuntut keadilan untuk seoran anggota kerajaan yang mati dibunuh ketika dalam bertugas menjaga keamanan juga boleh diteruskan oleh mana-mana masyarakat sivil, orang awam, serta badan-badan bukan kerajaan yang prihatin,” kata kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI