fbpx

Fouziah Gous tiada masa untuk berlakon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FOUZIAH GOUS

GENGGAM bara api, biar sampai jadi arang.

Peribahasa berkenaan sesuai ditakrifkan terhadap usaha dan kejayaan yang sedang dicapai seorang wanita bernama Nor Fouziah Mohd. Gous.

Lebih dikenali sebagai Fouziah Gous, sebenarnya masih banyak perkara yang ingin dicapai wanita itu.

Selepas mendirikan rumah tangga dengan usahawan, Datuk Mohd. Zhafran Md. Yusof pada 2013, perlahan-lahan dia sepertinya ‘menjauhkan’ langkah daripada dunia lakonan.

Namun, itu tidak bermakna cintanya terhadap cabang seni tersebut telah tiada, cuma dari masa ke masa, tahun demi tahun, dia lebih mengerti apa keutamaan kehidupannya.

Dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Muhammad Zeeshan, 7, dan Zaheen Yusof, 5, Datin Fouziah kini tenang dan senang dengan kehidupannya yang lebih tertumpu kepada urusan membesarkan anak-anak.

Pada masa sama, dia menggalas tanggungjawab murni sebagai seorang isteri.

SEIRING kematangan usia dan peralihan kerjaya, Fouziah akan lebih selektif jika mahu kembali berlakon suatu masa nanti.

Perniagaan

Tiga tahun vakum daripada sebarang penampilan dalam drama mahupun filem, selain menumpukan sepenuh masa dan tenaga kepada keluarga.

Keutamaannya sekarang juga beralih kepada perniagaan minuman kesihatan, sarang burung yang diusahakan sejak sekian lama.

“Saya memang sudah lama tak muncul di kaca televisyen. Memang fokus kepada bidang perniagaan. Masa saya aktif berlakon, saya antara yang awal buat perniagaan dalam talian.

“Masa fasa pertama perniagaan banyak mengambil masa, tenaga dan jiwa saya. Terlalu banyak usaha yang perlu diberikan sebab tak banyak rujukan seperti sekarang.

“Bukan saya tak nak berlakon tapi perniagaan memang ambil masa saya dari pagi sampai ke malam. Kadang-kadang saya habiskan terlalu banyak masa di pejabat,” kata

Fouziah ketika ditemui HibGlam pada Minggu Usahawan Negara 2022 dan StarVendors Kedah Raya Fest 2022 di ibu negara baru-baru ini.

Sungguhpun begitu, sudah namanya darah seni mengalir dalam dirinya, kerinduan bintang Sifu & Tongga itu terhadap lakonan sentiasa ada.

FOUZIAH turut berasa lega terhadap keterbukaan dan penerimaan khalayak terhadap pelakon wanita bertudung ketika ini. – Foto INSTAGRAM FOUZIAH GOUS

Selektif

Banyak menerima tawaran berlakon, namun Fouziah juga terpaksa bersifat selektif kerana perlu mengutamakan perkara yang penting, iaitu keluarga dan perniagaan.

“Sejujurnya, bukan tak nak berlakon malah saya rindu nak kembali berlakon. Tapi, apabila nak buat, memang tiada masa.

“Jadi saya terpaksa memilih apa yang saya ingin kerjakan sahaja.

“Macam sebelum ini, saya jadi tetamu untuk program Sepahtu Raya. Saya pilih tawaran yang tidak memerlukan masa atau komitmen yang lama.

“Jadi, senang cerita sekarang kekangan masa menjadi punca saya tak lagi berlakon,” ujarnya.

Kata pelakon Sunti @Facebook itu juga, kalaupun dia ingin terlibat dalam drama atau filem, naskhah tersebut mestilah sesuatu yang berbaloi selaras dengan kehendak dan statusnya sekarang.

“Saya pun terpaksa menjadi selektif. Dahulu hari-hari berlakon sebab tak boleh buat apa, itu punca pendapatan.

“Sekarang dah ada jalan rezeki lain, kita pilih apa yang bagus untuk diri kita.

“Kalau nak terima tawaran berlakon, saya kena pastikan cerita yang dipilih memberi impak kepada diri dan khalayak.

“Kadang-kadang, saya dapat tawaran tapi bila baca skrip, saya rasa lebih baik saya beri kepada orang lain yang lebih layak,” jelasnya.

Ditebak sama ada suaminya meletakkan sebarang syarat jika mahu berkecimpung aktif dalam dunia lakonan, Fouziah memberitahu, syurganya itu merupakan individu paling memberi sokongan jika dia ingin kembali berlakon.

Tinggal lagi, kesedaran sendiri mahu memperlahankan langkah seni barangkali, sudah sampai waktunya untuk berbuat demikian.

“Saya bukan macam sebelum ini, saya pun dah berhijab.

“Suami juga bersikap terbuka sebenarnya. Saya yang sedikit bertentangan tapi orang tak tahu.

“Suami saya memang tak kisah sejak mula berkahwin, memang sangat mendukung tetapi sejujurnya, saya yang banyak hadkan diri.

“Suami banyak membenarkan tapi saya yang sebenarnya, tak nak,” ujarnya.

SEDANG mendekati agama selari usia yang semakin berganjak, Fouziah berkata, bukan semua urusan rohaninya adalah untuk tatapan orang ramai.

Bertudung lebih diterima

Fouziah bagaimanapun menzahirkan kesyukuran melihat keterbukaan dan penerimaan khalayak terhadap wanita bertudung sebagai pelakon.

“Sekarang ini pun, saya rasa sangat bersyukur sebab saya suka tengok industri.

“Memang ada cabaran tapi berbanding dahulu, nak tengok wanita berhijab diterima sangat terhad, sekarang orang dah lebih terbuka penerimaan.

“Waktu saya dahulu, kalau kita ‘sign’ sesuatu tawaran sekalipun, tertera dalam kontrak bahawa seseorang itu tak boleh berhijab dalam tempoh dua tahun dan sebagainya.

“Tapi, sekarang saya rasa benda itu dah tak wujud sebab penerimaan orang sekarang dah bersifat lebih terbuka.

“Orang sekarang juga dah lebih menyesuaikan diri dengan peredaran masa dan situasi semasa,” katanya.

Getus ibu kepada dua cahaya mata itu lagi, lakonan yang dipaparkan baik di kaca televisyen mahupun layar perak tidak melambangkan imej atau keperibadian seseorang dalam kehidupan realiti.

“Bagi saya, lakonan adalah lakonan. Secara peribadi, limitasi dari segi imej untuk berlakon itu tiada.

“Berlakon pun sebenarnya masih boleh tutup aurat, mengapa tidak,” ujarnya.

FOUZIAH berasa senang hati dengan keterbukaan pihak produksi dan stesen televisyen kini yang tidak menganaktirikan kerja kreatif wanita berhijab.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI