SHAH ALAM – Atlet-atlet Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang mewakili negara dan memenangi pingat di Sukan SEA Hanoi Vietnam akan diberi pelepasan yuran pengajian dan kolej kediaman sehingga tamat pengajian.
Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM, Prof. Dr. Mohd. Sazili Shahibi, ia merupakan insentif sebagai menghargai komitmen pelajar UiTM yang mengharumkan nama universiti tersebut dalam bidang sukan.
“Justeru, kita berharap atlet tersebut akan terus aktif dalam sukan yang mereka sertai sehingga tamat pengajian.
“Selain itu, insentif tersebut menjadi galakan kepada atlet mengharumkan nama dan memberikan impak kepada UiTM sebagai universiti yang memberi fokus kepada sukan,” katanya selepas majlis penyampaian insentif atlet UiTM Sukan SEA Hanoi Vietnam di Pusat Sukan UiTM hari ini.
Mengulas mengenai ganjaran kewangan, Mohd.Sazili berkata, 10 orang atlet telah diberi insentif berupa RM750 untuk pemenang pingat perak dan RM500 untuk pemenang pingat gangsa. – KOSMO! ONLINE.