JAKARTA – Seekor anak kucing di Indonesia menjadi sensasi internet kerana memiliki tanda lahir pada bahagian mata yang membuatkan haiwan itu kelihatan seperti memakai topeng ‘Zorro’, lapor portal berita MailOnline, semalam.
Pemilik anak kucing tersebut, Indraini Wahyudin berkata, haiwan itu menarik perhatian netizen sejak gambarnya dimuat naik di laman media sosial.
Anak kucing itu dinamakan sebagai Boy, namun disebabkan tanda lahir yang unik, ramai pengguna media sosial menggelarnya sebagai Zorro.
Klip-klip video yang memaparkan aksi lincah Boy telah berjaya menarik perhatian puluhan ribu tontonan.
“Boy berusia sembilan bulan dan merupakan campuran baka kucing Parsi.
“Kucing ini sangat manja dengan saya dan sentiasa mahu dipeluk,” kata Indraini. – Agensi