fbpx

WHO buat pusingan-U, mahu siasat teori kebocoran makmal punca Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PAda 2020, WHO setuju dengan hasil siasatan bahawa Covid-19 bermula di Pasar Huanan yang menjual makanan laut dan eksotik. - AFP

GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) membuat pusingan-U dalam pendirian mengenai asal-usul  Covid-19 apabila menyarankan siasatan lanjut berhubung  teori koronavirus berasal daripada kebocoran makmal di Wuhan, China, lapor stesen penyiaran NBC.

Saranan itu sangat bertentangan dengan hasil siasatan delegasi WHO ke Wuhan pada awal 2021 yang menyatakan, Covid-19 bermula dari pasar haiwan eksotik dan bukannya kebocoran  makmal penyelidikan virus.

Pemerintah China menempelak perubahan pendirian WHO dan berkata, tuduhan tersebut bermotifkan politik semata-mata.

Jurucakap Menteri Luar China, Zhao Lijian sebaliknya mengalihkan perhatian kepada apa yang beliau dakwa sebagai ‘pembebasan’ virus Covid-19 secara sengaja dari makmal milik Amerika Syarikat (AS), tanpa mengemukakan bukti.

“Teori kebocoran makmal adalah  penipuan yang direka oleh pihak anti-China yang mempunyai tujuan politik tertentu dan tiada kaitan dengan sains.

“Kami sentiasa menyokong dan mengambil bahagian dalam pengesanan virus global berasaskan sains tetapi kami menentang sekeras-kerasnya sebarang bentuk manipulasi politik,” kata Lijian.

Perubahan hala tuju itu berlaku Khamis lalu menerusi laporan pertama oleh penasihat WHO iaitu Kumpulan Penasihat Saintifik untuk Asal Usul Patogen Novel yang dikenali sebagai SAGO.

SAGO secara perinsipnya bersetuju bahawa pasar makanan laut Wuhan mungkin memainkan peranan penting pada permulaan wabak itu kerana beberapa pesakit Covid-19 pada Disember 2019, mempunyai sejarah lawatan ke lokasi itu.

Bagaimanapun, terdapat persoalan mengenai aspek penyebaran khususnya tentang cara virus itu sampai ke pasar Wuhan dan titik ‘perpindahan’ pertama virus Covid-19 antara haiwan dan manusia berlaku.

Dalam laporannya, SAGO  mengesyorkan siasatan lanjut dilakukan berhubung idea bahawa perpindahan pertama tersebut mungkin berlaku di makmal atau mana-mana lokasi yang mencurigakan.

Beijing sebelum ini menyatakan bahawa Covid-19 mungkin ‘diimport’  ke China dalam bentuk makanan sejuk beku. Laporan WHO pada Khamis lalu  turut meminta supaya teori tersebut disiasat lebih lanjut.

Pada permulaan pandemik Covid-19, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus dituduh bersikap berat sebelah dalam siasatan Covid-19 kerana terlalu mahu menggembirakan Presiden China, Xi Jinping.

Ini kerana pada 2020, China meningkatkan pembiayaan organisasi itu sebanyak AS$30 juta (RM132.7 juta) selepas bekas presiden AS, Donald Trump memutuskan hubungan sepenuhnya dengan WHO.

Disebabkan situasi tersebut, China dituduh  melambat-lambatkan pengeluaran maklumat mengenai wabak Covid-19  termasuk bahaya  virus yang pantas merebak itu. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI