SHAH ALAM – Semua institusi pengajian tinggi diseru menerapkan elemen kejujuran, amanah dan integriti dalam setiap jiwa mahasiswa.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, usaha untuk memperkukuhkan integriti nasional dan etika amalan kerja yang baik oleh setiap warganegara hendaklah dipupuk dan dibentuk di setiap bilik dan dewan syarahan institusi pengajian tinggi di seluruh negara.
“Pembudayaan integriti hendaklah wujud dalam setiap jiwa dan sanubari rakyat Malaysia, bermula dari bangku sekolah dan terus ditanam serta diperkasakan ketika di menara gading.
“Sesungguhnya, prasyarat bagi kejayaan sesebuah negara adalah bergantung kepada masyarakat dan tenaga kerja yang jujur, amanah dan berintegriti,” titah baginda pada istiadat konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-93 di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM Shah Alam hari ini.
Turut berangkat ke majlis tersebut adalah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
Al-Sultan Abdullah yang merupakan Canselor UiTM bertitah agar para graduan sentiasa merebut segala peluang pekerjaan yang ada dan sentiasa berusaha ke arah kebaikan serta hendaklah jujur pada sebilang masa.
Baginda menjelaskan, agama islam dan semua agama di dunia mengutuk dan mencela amalan rasuah kerana ia adalah bagai sebuah barah yang boleh menghancurkan sebuah tamadun.
“Sejarah telah kerap kali membuktikan bahawa jatuh atau bangunnya sesebuah negara adalah berkait rapat dengan sikap jujur, amanah dan integriti seperti dalam catatan sejarah melayu “Sulatus Al-Salatin.
“Tun Sri Lanang meriwayatkan bagaimana runtuhnya kerajaan Melaka yang terbina ratusan tahun lamanya akibat perbuatan rasuah Bendahara Seri Maharaja,” tegas baginda.
Al-Sultan Abdullah turut bertitah, arus globalisasi dan dunia tanpa sempadan bukan hanya membawa kesan kepada ekonomi tetapi pelbagai impak dari segi sosio budaya.
“Tanpa kita sedari, fenomena ini telah turut meninggalkan kesan kepada sifat-sifat terpuji dan nilai-nilai moral sesuatu masyarakat,” titahnya. -KOSMO!ONLINE