fbpx

Rugi RM3.9 juta ditipu pasangan suami isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kamarudin (kiri) menunjukkan barangan rampasan kes penipuan melibatkan kerugian RM3.9 juta.

KUALA LUMPUR – Sepasang suami isteri ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan emel (Business Email Compromise) yang menyebabkan kerugian sebanyak RM3.9 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Mohd. Kamarudin Md Din berkata, seorang wanita tempatan berusia 41 tahun bersama suaminya yang merupakan warga Nigeria berusia 43 tahun itu ditahan di Semenyih semalam.

“Kita memberkas dua suspek berkenaan susulan laporan polis pada 8 Jun lalu daripada seorang lelaki warga Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menetap di Dubai mendakwa mengalami kerugian sebanyak RM3.9 juta.

“Mangsa dipercayai telah berurusan dengan sebuah syarikat di Amerika Syarikat melalui emel berhubung pembelian simen berjumlah 41,000 tan metrik pada Mac lalu,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat JSJK di sini hari ini.

Mengulas lanjut, suspek disyaki menggodam emel dan menggunakan nama syarikat serta emel hampir sama dengan syarikat yang mangsa sedang berurusan.

Jelasnya, suspek telah mengarahkan mangsa membuat pembayaran bagi urus niaga tersebut, setelah pembayaran dibuat mangsa tidak menerima barangan yang dijanjikan.

Sementara itu, polis turut merampas sebuah kereta jenis Mercedes Benz S300L, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora serta enam telefon bimbit pelbagai jenama, jam tangan, dua buah komputer riba, barang kemas, dan pelbagai barangan lain.

Mohd. Kamarudin berkata, pihaknya juga telah mengambil tindakan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 untuk membekukan wang tunai berjumlah RM1.8 juta dari akaun bank milik syarikat suspek.

Dalam pada itu, Kamarudin memaklumkan berdasarkan statistik, sejumlah 57 kes penipuan BEC telah dicatatkan melibatkan jumlah kerugian RM 49.2 juta pada 2021.

“Manakala pada bagi tempoh Januari hingga 13 Jun lalu sejumlah 23 kes telah dicatatkan dengan jumlah kerugian RM 15.1 juta,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI