PARIS – Ketua jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Mauricio Pochettino bakal meninggalkan juara Ligue 1 itu selepas dikatakan gagal mencapai kata sepakat dalam beberapa perbincangan yang diadakan hujung minggu lalu.
Walaupun PSG masih belum membuat pengumuman rasmi tetapi pengendali berusia 50 tahun itu dijangka tidak akan meneruskan tahun terakhirnya dalam kontrak di Parc des Princes.
Antara nama-nama hangat dikaitkan bakal mengisi kekosongan itu ialah legenda Perancis dan Real Madrid, Zinedine Zidane; pengurus yang diberi julukan The Special One, Jose Mourinho dan pengendali Nice, Christophe Galtier.
Salah satu faktor bekas pengendali Tottenham Hotspur itu ditunjukkan jalan keluar adalah disebabkan kegagalannya memastikan PSG menjuarai gelaran Liga Juara-Juara.
Sejak dilantik Januari tahun lepas, Pochettino sekadar berupaya membawa PSG ke separuh akhir Liga Juara-Juara 2020/2021 sebelum merekodkan prestasi lebih mengecewakan apabila terkandas di pusingan 16 terbaik musim lalu.
Biarpun Pochettino berjaya memastikan gelaran Ligue 1 kembali ke kota Paris musim lalu selepas dimenangi Lille dua musim sebelum itu, namun ia masih belum cukup untuk meyakinkan ahli-ahli lembaga pengarah PSG.
Sebagai rekod, Pochettino pernah disebut-sebut bakal menggantikan tempat Ole Gunnar Solskjaer tetapi ia tidak menjadi kenyataan selepas Manchester United memilih untuk melantik Ralf Rangnick sebagai pengurus sementara.
Peluang untuk beliau ke Old Trafford kini sudah tertutup rapat selepas The Red Devils memberikan jawatan sebagai pengurus tetap kepada Erik ten Hag musim depan. – AGENSI