fbpx

[VIDEO] Malaysia mara ke Piala Asia 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dion Cools (kanan) meraikan gol kedua pasukan Harimau Malaya bersama rakan sepasukan pada Perlawanan Kumpulan E Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 Malaysia menentang Bangladesh di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, hari ini

KUALA LUMPUR – Skuad Harimau Malaya menamatkan kemarau 43 tahun untuk layak ke pentas Piala Asia 2023 secara merit selepas menewaskan Bangladesh 4-1 pada aksi terakhir peringkat kelayakan Kumpulan E di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.

Pada aksi tersebut, skuad negara kendalian Kim Pan-gon membuat kejutan dengan merombak kesebelasan utama termasuk memberi peluang kepada penjaga gol muda, Ahmad Syihan Azmi selain lilitan kapten diberikan buat Syafiq Ahmad.

Pasukan kebangsaan tidak menunggu lama untuk meraih gol pembukaan hasil jaringan penalti yang berjaya disempurnakan oleh Safawi Rasid pada minit ke-17 selepas Matthew Davies dijatuhkan oleh pertahanan lawan.

Safawi hampir menggandakan jaringan berselang dua minit kemudian tetapi tandukan yang dilakukan berjaya ditepis penjaga gol pasukan lawan, Anisur Rahman.

Ketika skuad negara sedang ghairah melakukan asakan, pasukan pelawat yang menduduki ranking ke-188 dunia meraih gol penyamaan hasil tandukan yang dilakukan oleh Mohamad Ibrahim pada minit ke-31.

Tersentak dengan gol tersebut, skuad negara kembali memperkemaskan serangan dan meraih gol hasil ledakan pertahanan berdarah kacukan, Dion Cools pada minit ke-37 selepas menerima hantaran Shahrul Saad.

Bersambung pada babak kedua, skuad negara meneruskan momentum yang sama dan meraih gol ketiga hasil tandukan Syafiq yang bijak menyudahkan hantaran Faisal Halim pada minit ke-47.

Selepas selesa 3-1, Pan-gon mula mencongak strategi dengan memasukkan beberapa pemain daripada bangku simpanan seperti Akhyar Rashid, Darren Lok, Nazmi Faiz Mansor dan V. Ruventhiran.

Keputusan tidak menjejaskan momentum serangan Harimau Malaya selepas Darren meledak gol keempat pada minit ke-73 hasil gerakan lincah yang direncakan oleh Akhyar.

Jentera serangan negara berusaha untuk menambah gol pada baki perlawanan tetapi kedudukan 4-1 kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus menceriakan hampir 60,000 penyokong yang hadir.

Malaysia berjaya menamatkan aksi Kumpulan E di tempat kedua dengan enam mata selepas pendahulu kumpulan, Bahrain meraih kemenangan 1-0 ke atas Turkmenistan petang tadi sekali gus berada di kelompok lima negara naib juara kumpulan terbaik pada aksi kelayakan kali ini.

Keputusan tersebut menyaksikan skuad negara menamatkan kemarau 15 tahun selepas kali terakhir beraksi dalam kancah bola sepak terbesar benua Asia itu pada 2007 selaku tuan rumah.

Lebih manis, ini adalah kali pertama skuad negara layak secara merit dalam tempoh 43 tahun selepas edisi 1980. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI