KUALA TERENGGANU – Malang tidak berbau, seorang lelaki maut akibat tersepit di antara dua jentera penurap jalan di Kampung Kubang Ikan di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 10.45 pagi itu, mangsa, Wan Endok Wan Salleh, 59, meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din berkata, sebelum kejadian, tiga buah jentera penurapan jalan yang sedang berhenti berehat diletakkan sebaris di tepi jalan.
“Mangsa (Wan Endok) dikatakan sedang berbual dengan salah pekerja penurapan jalan yang berada di dalam jentera yang paling belakang sambil berdiri.
“Tidak lama kemudian, pemandu jentera penurap yang berada bahagian hadapan telah menghidupkan enjin untuk memulakan semula kerja tanpa menyedari kehadiran mangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Abdul Rahim berkata, jentera penurap yang berada di tengah-tengah dikatakan telah terlanggar oleh pergerakan jentera di hadapan menyebabkan ia bergerak ke belakang.
Jelas beliau, impaknya menyebabkan Wan Endok yang sedang berdiri di hadapan jentera penurap terbabit tersepit sehingga menyebabkan dia mengalami kecederaan parah di bahagian badan termasuk dada.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE