JAKARTA – Sebuah klip video di Indonesia menerima kecaman netizen kerana memaparkan perbuatan seorang lelaki memberikan wang kertas palsu kepada beberapa pekerja pembersihan demi menghasilkan kandungan di laman sosial, lapor laman berita Suara.com.
Dalam rakaman video yang tular itu, seorang lelaki dilihat memegang wang kertas palsu dengan nilai 100,000 rupiah (RM30.05) dan 50,000 rupiah (RM15.03) sebelum menghampiri sekumpulan pekerja yang sedang membersihkan sampah.
Perakam video berkenaan menghampiri mereka lalu bertanya mengenai bayaran yang kebiasaannya diterima untuk pekerjaan tersebut.
Selepas berbual seketika, dia menyerahkan wang kertas palsu kepada mereka lalu disambut dengan senyuman dan rasa gembira oleh pekerja-pekerja tersebut.
Mereka turut mendoakan agar rezeki perakam video diluaskan sebelum dia beredar.
Individu berkenaan kemudian meneruskan rakaman dari jarak jauh. Kumpulan pekerja tersebut yang baru menyedari mereka menerima wang palsu kelihatan kecewa dan melempar kertas tersebut kerana menyedari mereka telah ditipu.
Turut kedengaran adalah suara perakam video sedang mentertawakan mereka.
Video itu menerima kecaman netizen dengan ramai menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak berperikemanusiaan.
“Jika tidak mampu membuat orang lain gembira, sekurang-kurangnya jangan buat orang lain kecewa,” kata seorang pengguna media sosial.
“Baru lepas kenakan orang, tetapi berasa bangga. Sepatutnya perlu dilaporkan kepada pihak berwajib,” ujar seorang lagi. – Agensi