LIVERPOOL – Pemain pertahanan Liverpool, Ibrahima Konate menjelaskan, dia menjadi semakin matang selepas mengambil keputusan menyertai The Reds pada jendela perpindahan musim panas lalu.
Bekas pemain RB Leipzig itu menampilkan aksi cukup baik pada saingan musim lalu sehingga membantu The Reds menjulang Piala FA selain diberikan kepercayaan pada perlawanan besar.
Biarpun masih berusia muda, namun gaya permainan Konate sudah ada bayangan dia mampu untuk mencapai status tonggak pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk sekiranya terus menampilkan aksi konsisten.
“Sebenarnya, saya langsung tidak percaya dengan kemampuan diri ketika berdepan situasi bola mati, terutamanya sepakan penjuru. Bagaimanapun, selepas dinasihatkan oleh Thiago Alcantara, saya mula mendapat keyakinan itu.
“Dia beritahu, saya memiliki kelebihan fizikal dan perlu gunakannya. Kemudian, saya mula bersaing untuk mendapatkan bola tinggi yang kemudiannya membuatkan permainan saya lebih baik,” katanya.
Pemain berusia 23 tahun itu juga berkata, dia sentiasa mendapatkan tunjuk ajar pemain-pemain senior dalam usaha memperbaiki permainannya bagi mendapatkan lebih banyak peluang membarisi kesebelasan utama.
“Semua pemain di kelab memberi tunjuk ajar kepada saya termasuk Van Dijk yang boleh dikatakan sebagai bek tengah terbaik dunia. Selain itu, Sadio Mane dan Fabinho turut membantu bagi memastikan permainan saya terus maju,” ujarnya. – AGENSI