fbpx

Kapal Sudan karam, ribuan biri-biri lemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kru mencari kambing biri-biri selepas kapal Badr 1 karam di Pelabuhan Suakin. - AFP

KHARTOUM, Sudan – Sebuah kapal sarat dengan muatan biri-biri tenggelam di Pelabuhan Suakin, Sudan kelmarin, menyebabkan kebanyakan haiwan itu lemas tetapi krunya selamat, kata beberapa pegawai.

Kapal itu sedang membawa eksport ternakan dari Sudan ke Arab Saudi apabila karam selepas tambahan beribu-ribu biri-biri dimasukkan berbanding jumlah sepatutnya.

“Kapal Badr 1 tenggelam semasa dini hari kelmarin. Ia membawa 15,800 ekor biri-biri sekali gus jauh lebih banyak daripada muatan yang dibenarkan,” kata seorang pegawai pelabuhan Sudan. 

Menurutnya,  Badr 1 sepatutnya membawa hanya 9,000 ekor biri-biri.

Seorang pegawai lain berkata, semua kru kapal Badr 1 berjaya diselamatkan, namun, dia menyuarakan kebimbangan tentang impak insiden tersebut terhadap  alam sekitar dan ekonomi negara.

“Kapal karam ini akan menjejaskan operasi pelabuhan. Ia juga berkemungkinan besar menjejaskan alam sekitar berikutan kematian  sejumlah besar biri-biri yang dibawa,” katanya.

Ketua persatuan pengeskport Sudan, Omar al-Khalifa berkata, kapal itu mengambil masa berjam-jam untuk karam di pelabuhan itu yang bermakna ia sepatutnya boleh diselamatkan.

“Nilai haiwan ternakan yang hilang adalah sekitar SAR14 juta (RM16.4 juta),” kata ketua divisyen haiwan ternakan persatuan itu, Saleh Selim.

Katanya, pemilik haiwan ternakan hanya menemui semula kira-kira 700 ekor biri-biri namun, semua haiwan itu tidak sihat dan dijangka tidak akan dapat hidup lama.

Saleh juga menggesa supaya insiden itu disiasat.

Pada bulan lalu, kebakaran besar berlaku di kawasan kargo Pelabuhan Suakin. Api marak selama berjam-jam dan menyebabkan kerosakan besar, manakala punca kebakaran masih tidak jelas.

Suakin yang juga bandar pelabuhan bersejarah bukan lagi menjadi hab perdagangan asing sudan. Peranan itu diambil alih oleh Pelabuhan Sudan yang terletak sekitar 60 kilometer dari Suakin. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI