KAPTEN Johor Jewels, Pow Mei Foong menjelaskan, pasukannya masih mencari kombinasi permainan terbaik sebelum membuat perhitungan sebenar dengan juara bertahan, Kuala Lumpur (KL) Wildcats.
Pertemuan dua pasukan seteru itu yang dijadualkan di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada Sabtu ini mampu menentukan kedudukan juara liga sepusingan Sooka Netball Super League (NSL) 2022.
Johor Jewels pastinya mahu menamatkan saingan liga di tempat teratas kerana dijadualkan bertemu pasukan di tempat keempat di separuh akhir berbanding naib juara akan menentang pasukan yang menghuni kedudukan ketiga.
“Kami masih lagi mencari kombinasi paling baik sebelum jumpa KL kerana musim ini kami mahu menjadi juara. Ia sesuatu yang bagus kalau awal-awal ini kami boleh cuba semua pemain di atas gelanggang.
“Format round robin (liga sepusingan) sangat menarik kerana jurulatih boleh rancang strategi yang lain. Awalnya kami
masih mencari rentak sebelum mula mendapat permainan sebenar.
“Kombinasi terbaik bergantung kepada jurulatih kerana dia duduk di luar dan boleh nampak permainan kami. Kadang-kadang kami sendiri tak perasan apabila sudah masuk dalam gelanggang,” kata Mei Foong.
Johor Jewels kendalian Fazira Mesnan terus menghambat kedudukan KL Wildcats apabila merakam kemenangan kelima berturut-turut selepas menewaskan Melaka Mystic 68-24 kelmarin.
KL Wildcats pula kekal menerajui carta dengan kelebihan perbezaan jaringan ke atas Johor Jewels selain masih lagi tidak merekodkan sebarang kekalahan selepas menumpaskan Kedah Sunshine 75-41.