fbpx

Hanya individu berautoriti boleh gesa percepat PRU-15 – Annuar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Annuar (dua dari kiri) ketika menghadiri Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2021 Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Putrajaya di sini, hari ini.- Foto FAISOL MUSTAFA

Oleh KAMARIAH KHALIDI

PUTRAJAYA – Tan Sri Annuar Musa berpendapat hanya individu berautoriti boleh menggesa supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dipercepatkan.

Menurut Ahli Parlimen Ketereh itu, UMNO sehingga kini juga masih belum membuat sebarang keputusan mengenai tarikh PRU-15.

“Ia sangat mudah, yang pertama adakah parti sudah buat keputusan untuk pilihan raya? Belum? Yang bercakap itu individu, jadi bila individu tengok pula pada ‘locus standi’ nya.

“Kalau nak bercakap itu biarlah Presiden, Timbalan Presiden, Ahli Majlis Tertinggi, itulah orang yang berautoriti bercakap soal bila. Setakat yang saya tahu parti belum lagi memutuskan apa-apa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2021 Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) di sini hari ini.

Terdahulu, Annuar diminta mengulas mengenai hantaran yang dibuat Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Puad Zarkashi di laman Facebooknya hari ini yang menyatakan Annuar sepatutnya tidak membuat tafsiran mengikut selera terhadap titah Yang Dipertuan Agong mengenai politiking serta akar umbi UMNO mahu PRU-15 dipercepatkan.

Menteri K-KOMM itu menjelaskan, kerajaan yang ada ketika ini merupakan sebuah kerajaan yang terbentuk daripada berbagai parti dan parti-parti lain turut berhak untuk menyatakan pandangan masing-masing.

Dalam pada itu, Annuar turut memberi contoh bahawa beliau boleh memberi pendapat autoriti berkaitan PRU-15 jika ia melibatkan Parlimen Ketereh.

“Saya boleh beri pendapat autoriti saya setakat Parlimen Ketereh, Parlimen Ketereh sedang membuat persiapan kerana tahu dalam masa 10 bulan ini akan berlaku pilihan raya dan kita perlu bersedia, itu lebih penting.

“Saya juga boleh bercakap dari sudut kerajaan iaitu kerajaan ini komited untuk meneruskan segala kerja buat yang telah pun diputuskan dan diasaskan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI