MELAKA – Seorang imam didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan kesalahan seksual termasuk berbogel di hadapan kanak-kanak perempuan di sebuah surau di sini bulan lalu.
Tertuduh yang berusia 60 tahun itu mengaku tidak bersalah sejurus tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd. Tajudin.
Bagi pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang berusia empat tahun .
Tindakan itu dilakukan tertuduh antara pukul 3.30 hingga 5 petang di sebuah surau di sini pada 28 Mei lalu.
Lelaki itu turut didakwa melakukan kesalahan sama terhadap seorang lagi mangsa berusia 13 tahun lapan bulan pada pukul 5 petang hingga 5.30 petang di dalam stor di surau sama, pada hari sama.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa melakukan amang seksual dengan berbogel di hadapan mangsa berusia 13 tahun lapan bulan di tempat dan waktu sama.
Bagi tindakan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(i) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret Mazana Sinin, tertuduh turut berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan kerana menyimpan video lucah dalam telefon bimbitnya.
Sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, peguam Muhammad Mustapa merayu jaminan rendah kerana anak guamnya sudah berusia dan menderita penyakit gout.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM23,000 dan menetapkan tarikh 15 Julai ini untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE