SUVA – Fiji memberitahu sidang kemuncak keselamatan Asia bahawa perubahan iklim memberi ancaman lebih besar kepada rantau Pasifik berbanding konfrontasi ketenteraan, lapor Badan Penyiaran British (BBC) kelmarin.
“Mesingan dan jet pejuang bukanlah kebimbangan keselamatan utama kami. Satu-satunya ancaman paling besar adalah perubahan iklim,” kata Menteri Pertahanan Fiji, Inia Seruiratu.
Beliau berucap pada sidang kemuncak di Singapura itu yang memberi tumpuan kepada ketegangan China-Amerika Syarikat (AS) dan perang di Ukraine.
Taufan telah berulang kali melanda Fiji dan negara-negara rendah lain di rantau Pasifik.
“Ia mengancam harapan dan impian kemakmuran kami. Perubahan iklim berpunca daripada tangan manusia ini mencetuskan kerosakan,” kata Seruiratu dalam forum yang digelar Dialog Shangri-La itu.
Banjir di Fiji yang berpunca daripada taufan tropika telah menyebabkan beribu-ribu orang kehilangan tempat tinggal sejak beberapa tahun lalu selain mengakibatkan kegawatan ekonomi.
Negara-negara Pasifik telah menggesa negara-negara industri maju untuk bertindak dengan lebih kerap dalam memerangi perubahan iklim.
“Ombak menghempas pintu rumah kami, angin mengancam kediaman kami. Kami diserang oleh ‘musuh’ ini dari pelbagai sudut,” kata Seruiratu.
Dunia kini lebih panas 1.2 darjah Celsius berbanding pada abad ke-19 hasil daripada tindakan manusia membakar bahan api fosil yang membebaskan gas rumah hijau. Kebanyakannya ialah karbon dioksida (CO2). – Agensi