JOHOR BAHRU – Dua pekerja pembersihan profesional yang maut ketika melakukan kerja-kerja pembersihan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri adalah disebabkan terjatuh daripada ketinggian 27 meter.
Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negeri (JKKP) Johor, Husdin Che Amat berkata, kejadian itu berlaku ketika mangsa yang merupakan lelaki warga tempatan berusia 34 dan 35 tahun terjatuh daripada atas bumbung kanvas ke atas pagar sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Sehubungan itu katanya, JKKP Johor telah menghantar sepasukan pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan terhadap kes kemalangan tersebut.
“Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa yang bekerja sebagai juruteknik ditugaskan secara berpasangan membuat kerja-kerja pembersihan bumbung kanvas stadium menggunakan teknik ‘rope access’ di atas kawasan berdekatan pintu masuk Gate A berhadapan Ibu Pejabat Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Kedua-dua mangsa dilaporkan terjatuh dari atas bumbung kanvas ke atas pagar BRC (anggaran ketinggian 27 meter) dan telah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Husdin, pihaknya memandang serius setiap kemalangan serta penyakit pekerjaan yang berpunca daripada aktiviti pekerjaan dan akan melakukan siasatan lanjut bagi melengkapkan hasil siasatan.-KOSMO! ONLINE