PUTRAJAYA – Aduan bunyi bising seperti mesin dari sebuah rumah sewa bukan hanya menganggu jiran setempat sebaliknya membongkar satu aktiviti perlombongan bitcoin.
Dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Putra Prima, Puchong pukul 2.15 petang tadi, polis berjaya merampas pelbagai peralatan melombong bitcoin.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, rampasan membabitkan 36 unit mesin lombong bitcoin, 18 unit pembekal kuasa jenama Bitmain, sembilan unit kipas ‘blower’ dan satu unit monitor komputer.
Beliau berkata, pihaknya menerima aduan penduduk yang mendakwa terdengar bunyi bising daripada sebuah rumah sebelum serbuan dilakukan.
“Sebaik serbuan dilakukan, kami menemui mesin di syaki mesin bitcoin berada dalam keadaan bersepah di ruang tamu dan bilik tidur. Hasil siasatan mendapati ejen rumah adalah ejen yang sama dengan rampasan mesin bitcoin sebelum ini.
“Tenaga Nasional Bhd (TNB) telah mengesahkan telah berlakunya khianat dan kecurian pada meter TNB,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, pihaknya turut menahan ejen sewaan premis bagi membantu siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 427/379 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE