fbpx

Bangsal mengaji al-Quran runtuh akibat hakisan tanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail (dua dari kanan) bersama Rahim melihat keadaan sebuah bangsal mengaji di belakang rumahnya yang runtuh dalam kejadian di Kampung Kok Keli, Tumpat hari ini. -Foto oleh ROSLIZA MOHAMED

TUMPAT – Sebuah bangsal yang dibina sejak 10 bulan lalu untuk penduduk kampung belajar mengaji al-Quran runtuh selepas berlaku kejadian hakisan tanah di Kampung Kok Keli di sini awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu turut menyebabkan tandas yang dibina di belakang bangsal tersebut runtuh menyembah bumi.

Pemilik bangsal mengaji itu, Ismail Ibrahim 38, berkata, semasa kejadian, dia bersama isteri, Wan Effanie Wan Mohamad , 36, dan tiga orang anak berusia antara lapan hingga 17 tahun sedang tidur di rumah mereka yang terletak berhampiran bangsal tersebut.

Menurut peniaga ikan itu, dia mengetahui mengenai kejadian tersebut daripada pembantunya, Aizat Wahab, 32, yang datang menumpang tidur di bangsal tersebut kira-kira sejam sebelum runtuhan berlaku.

“Aizat memaklumkan bangsal itu seperti ditarik ke bawah sebelum runtuh kira-kira pukul 3 pagi. Runtuhan itu turut menyebabkan berlaku rekahan pada bahagian simen di belakang rumah saya.

“Saya ada terdengar bunyi dari arah belakang rumah sebelum tidur, namun tidak menyangka bangsal mengaji ini akan runtuh. Kami sekeluarga kini bimbang jika berlaku lagi hakisan tanah selepas ini,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Menurut Ismail, dia telah membuat benteng penahan hakisan di belakang rumahnya dengan kos sebanyak RM30,000 sebelum membina bangsal mengaji itu.

Katanya, ia merupakan kejadian hakisan tanah kali kedua yang berlaku di kawasan itu sejak 14 tahun tinggal di situ selepas bah besar pada 2014 yang lalu.

Sementara itu, Penghulu Mukim Kampung Kok Keli, Rahim Salleh berkata, beliau sudah memaklumkan kejadian itu kepada pihak Dewan Undangan Negeri Kelaboran, Tumpat untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI