KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini diberitahu, Arul Kanda Kandasamy relevan sebagai saksi pendakwaan kes pindaan laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana beliau mempunyai maklumat penting berkaitan pertuduhan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.
Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri berhujah, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB itu yang turut didakwa bersubahat dengan Najib, berada dalam kedudukan yang betul untuk memberi keterangan dalam kes berkenaan.
Arul Kanda yang merupakan tertuduh dalam kes itu didakwa bersubahat dengan bekas Perdana Menteri meminda laporan akhir pengauditan 1MDB bagi mengelakkan Najib dikenakan tindakan undang-undang.
Hujah Sri Ram, wujud keterangan bahawa Arul Kanda hadir mesyuarat pada 24 Februari dan 25 Februari 2016 dan segala perbualan dengan Najib selaku Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB penting kerana mempunyai kaitan dengan pertuduhan yang dikemukakan.
Sehubungan itu, Sri Ram menghujahkan, pada akhirnya mahkamah yang akan menentukan sama ada Arul Kanda memberi keterangan yang sahih dan menyeluruh jika beliau dipanggil sebagai saksi pendakwaan.
Dalam pada itu, peguam N. Sivananthan yang mewakili Arul Kanda berhujah, anak guamnya bersedia memberi keterangan berdasarkan percakapan yang diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika siasatan kes tersebut.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan 24 Jun ini bagi memutuskan permohonan pendakwaan yang dikemukakan mengikut Seksyen 63(1) Akta SPRM.
Terdahulu, mahkamah mendengar bantahan awal peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib terhadap permohonan itu.
Muhammad Shafee menyatakan, penggunaan seksyen itu adalah tindakan yang bahaya kerana meletakkan Arul Kanda dalam keadaan tertekan untuk memberi keterangan mengikut kehendak pendakwaan selain dilihat untuk memindahkan kesalahan kepada Najib dalam usaha membebaskan dirinya daripada pertuduhan jenayah.
Hujah Muhammad Shafee, permohonan itu wajar ditolak kerana pihak pendakwaan ketika mengemukakan kenyataan pembukaan pernah memaklumkan hasrat untuk memanggil Arul Kanda sebagai saksi.
Sehubungan itu, beliau menghujahkan, permohonan tersebut sepatutnya dikemukakan pada awal perbicaraan pada 2019 kerana ketika itu mereka sudah menyedari keterangan bekas CEO itu relevan untuk menyokong pertuduhan terhadap Najib.
“Permohonan perlu dikemukakan pada awal prosiding supaya Arul Kanda tidak mendengar keterangan saksi-saksi lain kerana peluang itu hanya akan membuka ruang kepadanya untuk menyediakan keterangan yang boleh membebaskan diri daripada liabiliti pertuduhan,” ujarnya.
Sehubungan itu, Muhammad Shafee menghujahkan, pihak pendakwaan mengemukakan permohonan yang salah kerana mereka sepatutnya membuat permohonan melalui notis usul dengan mengemukakan afidavit sokongan.
Ujarnya, tindakan memanggil Arul Kanda sebagai saksi seolah-olah dilihat sebagai satu ancaman halus kepadanya supaya mengikut kehendak pihak pendakwaan.
Bagaimanapun, Sri Ram menyatakan, bantahan awal pihak pembelaan itu tiada merit dan hanya bersifat khayalan semata-mata kerana mahkamah pada peringkat ini tidak mengetahui keterangan yang akan dikemukakan oleh Arul Kanda. – KOSMO! ONLINE