fbpx

8,543 projek PPP diluluskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Sebanyak 8,543 projek Program Pembangunan Peneroka (PPP) telah diluluskan untuk dijalankan secara individu dan juga melalui penglibatan koperasi serta badan peneroka sehingga kini.

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) melalui satu kenyataan hari ini berkata, projek-projek ini telah memberi manfaat kepada 56,959 orang peneroka dan generasi baharunya.

“Sebanyak 57 peratus daripada projek PPP ini adalah melibatkan aktiviti penternakan ayam dan ruminan manakala 41 peratus melibatkan aktiviti pertanian seperti tanaman cili dan timun secara fertigasi serta cendawan.

“Felda dengan kelebihan tanah yang luas mempunyai potensi yang baik untuk menjadi hab lembu pedaging seperti dilaksanakan di Felda Sahabat, Sabah.

“Secara keseluruhan, ternakan lembu secara integrasi ini akan melibatkan penggunaan tanah seluas 32,000 hektar. Bagi ternakan ruminan ini, Felda dijangka dapat menyumbang sebanyak 2.5 peratus daripada Kadar Sara Diri (SSR) nasional,” jelas kenyataan tersebut.

Bagi membantu menyelesaikan isu kenaikan mendadak harga bekalan makanan ternakan, Felda dalam perancangan untuk melaksanakan projek tanaman jagung bijian di tanah seluas 3,700 hektar dengan kerjasama FGV Holdings Berhad.

Projek tersebut juga dijangka dapat menyumbang sebanyak lima peratus daripada sasaran kerajaan untuk kurangkan import jagung bijian negara disamping menstabilkan harga.

“Felda juga akan merancakkan industri ternakan ayam melalui kerjasama ladang kontrak dengan Ayamas Food Corporation Sdn. Bhd. dengan pelaburan berjumlah RM23 juta mensasarkan penghasilan 640,000 ekor ayam setiap pusingan di lapan unit reban dua tingkat.

“Projek yang dilaksanakan melalui Koperasi Permodalan Felda (KPF) akan dijalankan di kawasan seluas 937 hektar di Felda Tun Ghaffar Bukit Senggeh, Melaka,” jelas kenyataan tersebut.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI