fbpx

Wanita Filipina dijel 3 bulan guna Mykad palsu ’21 tahun’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh (depan, kanan) diiringi pegawai JPN selepas dituduh di Mahkamah Majistret Melaka, hari ini.

MELAKA – Seorang ibu tunggal warga Filipina dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku salah menetap di Malaysia menggunakan Mykad palsu sejak 21 tahun lalu.

Majistret Nabiha Mohd. Noor menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Elenita Maisog, 51, yang membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati tanpa kuasa yang sah dan sebab munasabah telah memiliki kad pengenalan palsu atas nama Nuria Rahman yang beralamat di Sungai Udang, Melaka.

Tindakan itu dikesan dilakukan pada pukul 3 petang di Bahagian Siasatan Penguatkuasaan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka pada 9 Jun lalu.

Mengikut fakta kes, hasil semakan nombor kad pengenalan berkenaan merujuk kepada individu bernama Sapina dan tertuduh mengaku nama sebenarnya adalah Elenita Maisog dan berasal dari Misamis Occidental, Filipina.

Difahamkan, JPN berjaya mengesan kesalahan itu selepas tertuduh hadir ke pejabat JPN Melaka untuk proses pendaftaran kelahiran tiga anaknya.

Pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN, Ahmad Amirul Ahmad Jamal memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh dengan mengambil kira wanita itu melakukan kesalahan tersebut sejak 21 tahun lalu.

Beliau turut memohon tertuduh diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas selesai tempoh pemenjaraan bagi tujuan pengusiran.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama tiga bulan dari tarikh ditangkap iaitu pada 9 jun 2022 lalu. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI