fbpx

Tukang cat edar 186.43 gram methamphetamine ke tali gantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis mengiringi Sabri (tengah) dari lokap ke Mahkamah Tinggi Kota Bharu untuk prosiding jatuh hukum hari ini.

KOTA BHARU -Seorang tukang cat rumah dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 186.43 gram (g), empat tahun lalu.

Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menetapkan hukuman itu kepada Sabri Hamzah, 49, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Wan Ahmad Farid dalam penghakiman berkata, Sabri mempunyai pengetahuan bahawa dadah berkenaan adalah berbahaya malah alasannya melarikan diri ke belakang rumah untuk mengambil sarang burung juga tidak munasabah.

“Tertuduh juga didapati cemas ketika serbuan polis selain cuba untuk melarikan diri ke lorong belakang rumahnya.

“Oleh itu, tertuduh dihukum gantung sampai mati dan barang kes akan dilupuskan. Mahkamah juga terikat dengan undang-undang sedia ada selagi hukuman tidak dipinda di Parlimen,” katanya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan semak belakang sebuah rumah di Kampung Tasik Hulu, Gual Sitok, Rantau Panjang pada pukul 7 malam, 31 Januari 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Anuar Wahab manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Hasif Hassan.

Muhammad Hasif dalam rayuannya berkata, ia merupakan kesalahan pertama yang dilakukan anak guamnya yang merupakan bapa kepada empat anak berusia tujuh hingga 17 tahun.

Tertuduh juga kesal dengan kesilapan yang dilakukannya dan tidak akan melakukan perbuatan itu pada masa akan datang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI