TELUK INTAN – Hasrat lima lelaki untuk meraikan ulang tahun kelahiran tidak kesampaian apabila tiga daripada mereka terbunuh dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori tangki di Kilometer 7, Jalan Maharajalela-Teluk Intan di sini semalam.
Nahas sekitar pukul 9.30 malam itu mengorbankan S. Srinivasa Rao, 19, di tempat kejadian manakala M. Phooveandra, 26, dan K. C. Thinakaran, 19, pula meninggal dunia di Hospital Teluk Intan.
Dua lagi lelaki, V. Syarvin Kumar yang juga pemandu kereta Volkswagen Passat dan seorang penumpang kereta, C. H. Kaushin, 19, cedera parah.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian berlaku ketika kereta dipandu Syarvin Kumar itu dalam perjalanan dari arah Hutan Melintang menuju pekan Teluk Intan.
Katanya, siasatan mendapati, mereka dalam perjalanan untuk meraikan ulang tahun kelahiran Thinakaran yang juga merupakan adik saudara kepada Syarvin Kumar.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan lori tangki menyebabkan kenderaan berat itu gagal mengelak lalu merempuh kenderaan mangsa.
“Penumpang kereta berusia 19 tahun maut di tempat kejadian manakala dua rakan berusia 19 dan 26 tahun pula meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Hospital Teluk Intan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, dua lelaki yang parah kini dirawat di Hospital Teluk Intan manakala pemandu lori tangki berusia 48 tahun tidak cedera. -KOSMO! ONLINE