DI SEBALIK permohonan maaf kerana gagal meraih keputusan dimahukan, pertahanan negara, Matthew Davies berharap penyokong tidak serik hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi memberikan sokongan buat Harimau Malaya.
Menjelang perhitungan hidup mati Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 bertemu Bangladesh malam esok, bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mengakui dapat merasakan penyokong dipalit kekecewaan berganda, tewas kepada Bahrain dan tidak dapat menyaksikan permainan lebih menarik.
“Kedua-dua pasukan berdepan masalah (beraksi atas padang becak) dan bukan senang bermain secara menyerang. Kita lihat banyak hantaran jauh terpaksa dilakukan.
“Namun, ia bukan alasan dan tahu ia mengecewakan penonton. Maaf kerana tidak dapat menghadirkan keputusan dan kami akan cuba tampil lebih baik lagi pada aksi seterusnya.
“Selepas ini kita ada aksi hidup mati dan kami akan beri segalanya buat pasukan. Mungkin kita kena dapatkan lebih banyak gol untuk pastikan pasukan berada dalam situasi selamat,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.
Selain juara setiap kumpulan, lima naib juara terbaik daripada enam kumpulan akan turut layak ke pusingan akhir Piala Asia tahun depan.
Sementara itu, penyerang negara, Syafiq Ahmad masih merasakan peluang Malaysia layak masih terbuka luas dan segala-galanya bergantung kepada diri sendiri.
“Kalau kita lihat kepada kumpulan lain, peluang kita agak besar tetapi segalanya bergantung kepada diri sendiri pada aksi terakhir. Apabila jadi macam ini, kita tidak ada alasan dan perlukan kemenangan besar.
“Terima kasih kepada penyokong yang kekal bersama pasukan walau hujan atau panas. Saya harap aksi terakhir selepas ini stadium akan terus dipenuhi dengan penyokong,” katanya.