fbpx

Teknologi ubah nasib ramai orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

LINGKARAN kerja ketika ini mengingatkan kita kepada cara orang terdahulu mencari rezeki. Konsepnya sama dan tidak pernah berubah iaitu siapa rajin dia yang akan dapat lebih.

Zaman awal kemerdekaan, kebanyakan petani dan pesawah membanting tulang empat kerat untuk mencari nafkah tanpa bantuan mesin. Yang ada hanya kerbau, kuku kambing, kereta lembu dan parang panjang.

Sekiranya larat, selesai membanting tulang pada waktu pagi, mereka mengambil upah pula anak-anak kampung mengaji pada waktu malam atau buat kerja-kerja lain. Kalau letih, terus masuk tidur bagi mengembalikan tenaga untuk bekerja keesokan harinya.

Peredaran masa dan ledakan teknologi yang tiba di Malaysia kemudian mengubah cara kerja golongan tersebut yang kini meminimumkan penggunaan kudrat dan selebihnya diserahkan kepada mesin untuk memunggah hasil.

Ketika ini, ekonomi gig semakin mengukuhkan kedudukan apabila berjaya memikat pekerja sektor lain yang juga amat memerlukan tenaga kerja.

Ia disebabkan masyarakat zaman ini lebih suka bebas dan tidak mahu menerima arahan majikan ketika bekerja. Mereka sendiri yang akan menentukan kerja dan terpulang kepada diri sendiri sama ada mahu ‘pulun’ habis atau sedang-sedang sahaja.

Jika rajin dapat lebih, kalau sebaliknya makan apa yang ada sahaja. Perubahan ketara ini seolah-olah memberi jawapan kepada persoalan ke mana menghilangnya kira-kira 670,000 penganggur yang direkodkan pada tahun lalu.

Mereka yang kehilangan kerja akibat Covid-19 enggan kembali kepada sektor lama kerana kerapuhan masa depan sekiranya pandemik lain pula menyerang dunia.

Ia mengakibatkan beberapa sektor terutamanya makanan dan minuman gagal beroperasi dengan lancar.

Tolak tepi keuntungan yang diperoleh pengendali aplikasi yang merancakkan ekonomi gig dan kejarlah apa yang disediakan buat masyarakat untuk memperoleh pendapatan tambahan sekiranya rajin.

Sesiapa sahaja tidak kira pangkat besar atau kecil boleh menceburkan diri dalam sistem perniagaan bentuk baharu itu. Pokok pangkalnya ada usaha untuk mendapatkan duit lebih.

Pandemik Covid-19 yang pada awalnya dilihat seakan musibah ada hikmahnya apabila ia seolah-olah membuka pelbagai peluang bagi kita menjana pendapatan dalam bentuk baharu.

Tambahan pula, kita kini sudah menuju kepada kehidupan normal apabila bersalaman dan berpelukan sudah menjadi kebiasaan selepas dua tahun tidak melakukannya. Kewajipan memakai pelitup muka juga sudah dilonggarkan.

Di kebanyakan tempat, pensanitasi tangan pun sudah tidak disediakan lagi. Saf-saf di masjid dan surau juga sudah rapat selain penonton sudah dibenarkan memenuhi stadium. Kadang-kadang manusia semakin lupa bahawa negara pernah berada dalam keadaan yang tidak pernah kita jangka sedangkan koronavirus pada bila-bila masa boleh singgah di dalam sistem pernafasan kita. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI