SAUDARA PENGARANG,
SEBAGAI bapa kepada anak yang mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sekolah kebangsaan saya berasa terpanggil untuk memberikan sedikit pandangan.
Terlebih dahulu saya mewakili ibu bapa berterima kasih kepada seluruh warga pendidik PPKI yang bertungkus lumus mendidik serta melayani kerenah anak-anak kami yang pelbagai.
Saya berpendapat terdapat beberapa fasiliti sedia ada untuk murid PPKI di kebanyakan sekolah kebangsaan ketika ini masih boleh dipertingkatkan biarpun pihak pengurusan menganggap ia telah memadai.
Fasiliti itu termasuk saiz kelas di sebilangan sekolah yang dianggap agak kecil untuk memenuhi keperluan murid PPKI memandangkan ada dalam kalangan anak istimewa ini berasa tertekan berada di ruang sempit.
Kaedah membahagikan sebuah bilik darjah kepada tiga hingga empat kelas untuk mengehadkan bilangan murid dalam sesebuah kelas tidak memenuhi tujuan sebenar saiz kelas yang selesa untuk mereka.
Kedua, sebilangan murid PPKI berasa tertekan jika berada dalam persekitaran yang panas sekali gus membuatkan mereka tidak dapat fokus kepada proses pendidikan.
Justeru, wajarlah suhu bilik sesebuah kelas PPKI dipastikan selesa dan dilengkapi dengan kipas yang mencukupi untuk membantu para murid lebih tenang.
Paling penting adalah memperkasakan aspek keselamatan para murid PPKI terutama semasa mereka tiba dan pulang dari sekolah kerana dalam keadaan lalu lintas yang sibuk.
Keberadaan murid ini di luar kawasan sekolah terutama di jalan raya boleh mengundang risiko besar.
Guru, pembantu guru dan pengawal keselamatan sekolah perlu bekerjasama membentuk prosedur operasi standard (SOP) yang lebih mantap untuk keselamatan anak-anak ini.
Bagi saya tiga cadangan ini bukan sesuatu yang keterlaluan kerana ia masih dalam ruang lingkup kemampuan sekolah untuk dilaksanakan.
BAPA ANAK AUTISME
Kajang, Selangor