KUALA TERENGGANU – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Terengganu telah meluluskan peruntukan RM51 juta bagi membantu koperasi negeri ini sejak awal tahun.
Pengarah SKM Terengganu, Mohd. Aznan Abdul Aziz berkata, peruntukan berupa bantuan dan pinjaman mudah tersebut bertujuan membantu koperasi terbabit terus berdaya tahan setelah berdepan pelbagai masalah ekoran penularan pandemik Covid-19.
“Dianggarkan kira-kira 60 peratus daripada 540 koperasi yang aktif di Terengganu terjejas ekoran pandemik Covid-19.
“Sehubungan itu, SKM tidak berdiam diri sebaliknya mengambil inisiatif membantu koperasi-koperasi terbabit kembali bangkit pada fasa peralihan ependemik ini,” katanya ketika ditemui pada majlis mesra bersama pengamal media di sini hari ini.
Menurut Mohd. Aznan, selain bantuan berbentuk kewangan, SKM turut mempermudahkan prosedur bagi membolehkan koperasi berkenaan menukar aktiviti perniagaan teras demi kelangsungan operasi.
Tambah beliau, perubahan situasi semasa berikutan pendemik Covid-19 dan perkembangan teknologi digital menyebabkan sebahagian koperasi menghadapi kekangan meraih keuntungan sekiranya kekal dengan aktiviti perniagaan teras konvensional.
“Saya optimis koperasi di Terengganu memiliki potensi tinggi untuk berkembang pada pasca Covid-19 kecuali segelintir kecil disebabkan kelemahan pengurusan.
“Sehubungan itu, SKM Terengganu menyasarkan penambahan 100 koperasi baharu di negeri ini menjelang akhir tahun ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE