LONDON – Seorang remaja lelaki di Britain maut ketika cuba menyelamatkan ibunya daripada serangan seorang lelaki menggunakan pisau di kediaman mereka, lapor akhbar Metro UK kelmarin.
Jakub Szymansk, 15, telah dianggap sebagai ‘wira yang mati berjuang’ untuk keluarganya berikutan serangan di Manchester tersebut.
Menurut laporan, mangsa dirawat di lokasi kejadian akibat kesan tikaman pada pukul 9.30 malam (waktu tempatan) sebelum dikejarkan ke hospital di mana dia kemudiannya disahkan meninggal dunia.
Ibunya, Katarzyne Bastek, turut mengalami cedera parah dalam serangan itu, namun kini berada dalam keadaan stabil di hospital.
Susulan kejadian itu, polis telah menahan seorang suspek lelaki berusia 44 tahun, kira-kira 402.3 kilometer (km) dari lokasi kejadian atas tuduhan membunuh.
“Remaja berkenaan adalah wira. Semua orang di sini mengenalinya kerana dia seorang yang baik dan menghormati orang. Dia seorang pendiam, namun merupakan pelindung.
“Dia berjuang untuk keluarganya. Dia seorang yang mengagumkan, wira dan harus diingati,” kata seorang rakan mangsa kepada akhbar Manchester Evening News.
Susulan kejadian, Ketua Detektif, Inspektor Alicia Smith berkata, serangan itu telah menyebabkan komuniti setempat bersedih kerana ia melibatkan sebuah keluarga.
“Siasatan masih dijalankan dan kami menerima maklumat daripada sesiapa sahaja yang mungkin ada menyaksikan sebarang kejadian,” kata beliau. – Agensi