SEGAMAT – Seorang pelajar lelaki yang menghidap penyakit jantung berlubang memerlukan dana RM65,000 bagi menampung kos pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN).
Muhammad Raeez Ramadhan Mohd. Zulkiflee, 13, kini meneruskan kehidupan seperti biasa di kelas Pendidikan Khas di Sekolah Kebangsaan Pogoh.
Menurut ibunya, Norizan Marsandi, 46, doktor memaklumkan saiz lubang pada jantung anaknya sebesar syiling 50 sen dan dikhuatiri membesar jika pembedahan tidak dilakukan segera.
“Kalau boleh saya mahu dia (Muhammad Raeez) menjalani pembedahan segera kerana keadaannya makin lemah dan tidak seceria dulu.
“Raeez akan cepat penat selain kuku dan bibirnya bertukar biru. Sebelum ini, pihak hospital memasukkan alat pada leher untuk bantuan pernafasan dan mencabut 12 batang gigi pada 2015 untuk tujuan pembedahan.
“Anak saya kini menerima rawatan di Hospital Daerah Segamat (HDS) dan Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru. Sebelum ini, kos pembedahan cuma RM15,000 tetapi kini mencecah RM65,000,” katanya ditemui di Kampung Paya Lang, Batu Anam, di sini baru-baru ini.
Norizan memberitahu, kos pembedahan anak kelima daripada enam beradik itu terlalu tinggi buat mereka.
Dia yang sebelum ini memperoleh upah menghantar mi dan kuih ke gerai berdekatan rumah kini menyewa kedai sejak sebulan lalu untuk menjual sarapan dan lauk makanan tengah hari.
Kata Norizan, pendapatannya itu tidak mencukupi kerana perlu menanggung lima anak lain.
Bercerita lanjut, wanita itu memaklumkan, Muhammad Raeez dikesan menghidap sakit jantung berlubang sejak berusia enam bulan dan keadaannya bertambah teruk sehingga memerlukan rawatan di IJN.
“Jika diikutkan memang sukar kerana perlu berulang-alik dari HDS ke HSA tetapi kekuatan saya adalah anak-anak.
“Saya akan lakukan yang terbaik bagi memastikan Raeez sihat seperti rakan sebaya,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi Bank Islam bernombor 01078020381310 atas nama Norizan atau berhubung dengannya menerusi talian 011-3554 2726. -KOSMO! ONLINE