GEORGE TOWN – Peniaga kek dan biskut di negeri ini terpaksa mencari bekalan telur ayam gred A sejauh tujuh kilometer semata-mata mahu mendapatkan harga murah dan berbaloi.
Hal ini kerana, harga bagi sepapan telur ayam gred A yang dijual di kedai runcit dan pasar mini ketika ini dikatakan tidak selaras selain kesukaran untuk mendapatkan bekalan telur sejak akhir-akhir ini.
Difahamkan, penggunaan telur ayam gred A kritikal dalam pembuatan kek dan biskut kerana dikatakan lebih berkualiti, manakala saiznya lebih bertepatan dengan sukatan adunan.
Pengusaha Biseukis Bakery, Nur Hajar Salim, 32, berkata, dia terpaksa keluar mencari bekalan di lima buah premis peruncitan di daerah Barat Daya dari Teluk Kumbar hingga ke Relau bagi mendapatkan telur gred A.
Menurutnya, harga bagi sepapan telur gred A kini RM14.30 berbanding RM13.50 pada Ramadan lalu.
“Saya terpaksa keluar mencari di lebih tiga lokasi semata-mata mahu membuat perbandingan harga dan mendapatkan telur gred A dengan harga yang paling ideal. Sudahlah sukar memperoleh bekalan, harganya pula semakin naik.
“Saya belum lagi terlintas untuk menaikkan harga biskut dan kek sempena Hari Raya Aidiladha nanti. Mungkin akan berlaku (kenaikan) sedikit tahun depan.
“Buat masa ini, saya mungkin akan mengurangkan kuantiti biskut daripada 50 biji menjadi 45 biji sebekas.
“Keputusan ini diambil memandangkan banyak kenaikan harga barangan membuat kek dan biskut ketika ini,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Dalam pada itu, Nur Hajar memberitahu, dia tidak sanggup untuk menaikkan harga produk air tangannya kerana memahami keadaan kewangan pelanggan yang belum cukup stabil.
“Saya lebih pentingkan kualiti dan kepercayaan pelanggan. Memang tidak sampai hati hendak naikkan lagi harga meskipun sekadar hanya 50 sen atau RM1,” ujarnya lagi.
Sementara itu, peniaga nasi lemak, Norita Ismail, 54, pula memberitahu, setakat ini, dia belum berdepan dengan masalah tempahan bekalan telur ayam gred B, namun terpaksa menerimanya secara berperingkat.
“Telur ayam yang ditempah dari kedai runcit sebanyak 60 bekas dihantar secara berperingkat iaitu pada sebelah pagi dan petang.
“Peruncit beritahu yang pihak pembekal kini mengehadkan jumlah penghantaran bekalan tersebut,” katanya. -KOSMO! ONLINE