PETALING JAYA – Pandemik Covid-19 yang banyak memberi impak besar kepada perkembangan ekonomi negara sebenarnya telah memberi ‘rahmat’ kepada pelbagai syarikat tidak kira bersaiz besar atau kecil yang terlibat dalam industri kesihatan.
Hana Medic Sdn. Bhd. (Hana Medic) adalah salah satu pemain penting yang membekalkan segala produk berkaitan disinfeksi untuk kategori komersial dan juga tahap tinggi yang digunakan di bilik bedah atau peralatan teknologi tinggi di hospital di seluruh negara.
Syarikat yang mula beroperasi pada tahun 2006 itu diasas dan dibangunkan oleh Prof. Dr. Norayati Abd. Majid yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang kawalan penyakit berjangkit serta beliau pernah terlibat sebagai salah seorang barisan hadapan ketika negara di ancam wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada tahun 2003.
Berdasarkan pengalaman tersebut, beliau telah menjalankan satu kajian menyeluruh untuk menghasilkan produk sulungnya iaitu sanitasi tangan alkohol berstatus halal pertama di Malaysia dan bermula di situ syarikatnya yang beribu pejabat di Nilai, Negeri Sembilan agresif menawarkan produk berkualiti untuk memenuhi segmen hospital dan juga komersial.
Meskipun negara kini beralih kepada fasa endemik , permintaan terhadap produk keluarannya terus stabil kerana jenamanya kini semakin kukuh dan dipercayai oleh pasaran tempatan dan juga di luar negara.
“Jaga diri dan keluarga, jangan terlalu selesa dengan keadaan semasa. Kita kena sentiasa beringat dan berwaspada kerana kita tidak tahu siapa yang berada di sekeliling kita kerana sesiapa pun boleh menjadi healthy carrier yang boleh menjadi penyebar wabak kepada kita,” kata Norayati kepada Kosmo! ketika ditemui di pejabatnya di Nilai baru-baru ini.
Kosmo!: Boleh jelaskan perkembangan terkini Hana Medic?
Prof Norayati: Sepanjang dua tahun lalu ketika negara dilanda wabak Covid-19, syarikat telah membangunkan lebih banyak produk.
Dalam masa yang sama, saya juga memiliki banyak masa di kilang dengan pelbagai idea lahir daripada mengkaji dan membangunkan satu produk baharu.
Sehingga kini, kami berjaya menghasilkan 50 jenis produk untuk memenuhi segmen hospital dan juga jualan di pasaran komersial. Saya suka membuat kajian yang mana lebih banyak kajian dibuat untuk produk sedia ada, akan datang pula idea baharu untuk mengembangkan dan membangunkan lagi produk sampingannya.
Bagaimana dengan perkembangan pasaran Hana Medic?
Sebelum ini, pasaran lebih tertumpu pada segmen hospital dan fasiliti kesihatan sehingga ia menjadi produk rujukan.
Pandemik telah memberi peluang kepada kami memperluaskan segmen pasaran ke arah komersial termasuk rantaian farmasi dan pasar raya besar seperti di Lotus dan Giant.
Produk kami juga boleh didapati melalui platform online seperti Shopee dan Lazada. Melalui perluasan pasaran dan promosi yang baik, produk semakin popular dalam kalangan masyarakat sehingga menyebabkan permintaan terhadapnya meningkat lebih lima kali ganda
Dalam tempoh pandemik, semestinya syarikat-syarikat yang berkaitan dengan industri kesihatan mendapat banyak peluang perniagaan, bagaimana dengan Hana Medic?
Hana Medic adalah pengeluar produk lengkap untuk digunakan dalam tempoh pandemik yang lalu, ia merangkumi produk pembasmi kuman daripada segmen sanitasi tangan, pembersih tangan, disinfeksi untuk kategori rendah dan tahap tinggi, disinfeksi permukaan, kit tumpahan berbahaya dan losyen tangan.
Oleh itu, dalam fasa pandemik, jualan syarikat telah meningkat sehingga 500 peratus kerana pada masa itu, permintaan daripada hospital turut bertambah. Kualiti produk telah menjadi taruhan utama dalam memenangi kepercayaan masyarakat terhadap produk Hana Medic. Tambahan pula, produk kami mempunyai persijilan bertaraf antarabangsa seiring dengan standard piawaian yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Boleh jelaskan tentang keunikan produk Hana Medic?
Produk keluaran Hana Medic 100 peratus mempunyai pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Hal ini menjadi cabaran utama kepada kami dalam pemilihan bahan mentah terutamanya alkohol bagi menepati spesifikasi yang ditetapkan.
Inisiatif kejayaan kami menghasilkan produk sanitasi alkohol berstatus halal telah menjadikan produk syarikat lebih menonjol di pasaran. Faktor ini juga menyebabkan Hana Medic sering terpilih menjadi salah satu syarikat untuk mewakili Malaysia dalam Pameran Produk Kesihatan Antarabangsa seperti Arab Health di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu dan di Mediza, Jerman.
Apakah cabaran yang dihadapi Hana Medic semasa pandemik?
Salah satunya adalah masalah bekalan bahan mentah yang terhad terutamanya botol daripada pihak pengilang. Pembekal kami juga terpaksa bergerak seiring bagi mengelakkan kelewatan untuk menyiapkan tempahan.
Bagi kami untuk memenuhi kapasiti kilang adalah tidak menjadi satu masalah, kami mampu memenuhi permintaan.
Selain itu, terdapat juga isu berkaitan peningkatan harga bahan mentah semasa pandemik dan secara tak langsung, kami juga terpaksa menaikkan harga jualan tetapi ia tidak sewenang-wenangnya menjual terlampau tinggi seperti mana yang ditawarkan oleh peniaga lain sehingga berlipat kali ganda. Kadar harga jualan kami masih ditahap mampu milik iaitu kurang daripada RM20 seunit.
Negara sedang beralih kepada fasa endemik, adakah Prof melihat permintaan terhadap produk syarikat akan berkurangan?
Selepas memasuki fasa endamik, terdapat trend penurunan dalam permintaan produk. Namun, trend ini tidak membimbangkan kerana ia stabil disebabkan masyarakat mempunyai kesedaran terhadap pentingnya produk disinfeksi dan menjadi salah satu keperluan utama buat mereka.
Ini memberi kelebihan buat syarikat kerana ia secara tidak langsung telah melonjakkan nama Hana Medic di pasaran.
Apakah perancangan terbaharu Hana Medic?
Kami bercadang untuk membangunkan sebuah kilang bertaraf farmaseutikal berdekatan kilang sedia ada kami untuk menghasilkan produk suplemen. Produk tersebut dihasilkan menggunakan bahan semulajadi dan juga tanpa bahan pengawet serta gula. -KOSMO! ONLINE