fbpx

Misi Awesome TV cari pelapis pelawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SELAIN memperkenalkan jenama semula Raja Lawak, Awesome TV turut melancarkan beberapa wajah dan slot program baharu dalam sebuah majlis pelancaran baru-baru ini.

DALAM usaha meneruskan komitmen membekalkan kandungan hiburan berkualiti tinggi dan diterima ramai, saluran stesen televisyen swasta percuma, Awesome TV tampil memperkenalkan program realiti komedi popular Raja Lawak yang kini dikenali dengan jenama Awesome Raja Lawak.

Pertama kali diperkenalkan pada 2007, platform Raja Lawak terbukti berjaya mencetuskan fenomena tersendiri dalam industri seni tanah air apabila melahirkan ramai pelawak versatil seperti Nabil Ahmad, Jihan Muse, Johan, Zizan Razak, Sepahtu, Shiro, Zero serta ramai lagi.

Pengarah Unit Kandungan Awesome TV, Datin Ezzan Zalilah Zulfadzli berkata, pihaknya ada sebab tertentu memperkenalkan dan membawa semula jenama hebat tersebut kembali kepada penonton.

“Menyingkap kembali sejarah penerbitan program realiti komedi Raja Lawak edisi pertama lebih 15 tahun yang lalu, jenama dan legasinya terbukti membawa impak dan sumbangan yang besar kepada industri hiburan negara.

“Kejayaan paling besar menerusi program tersebut dengan lahirnya ramai nama-nama hebat dan berpengaruh.

“Selepas bertahan selama tujuh musim dan melabuhkan tirai terakhir pada 2013, kini pertandingan popular berkenaan dibawakan semula dengan evolusi baharu,” katanya.

Tambah Ezzan Zalilah, melihat landskap pasaran kandungan kreatif, Awesome TV yakin dengan potensi hiburan komedi yang dilihat masih kekal relevan serta boleh diangkat ke satu aras yang lebih tinggi dan bervariasi.

“Fokus kami dalam menerbitkan program-program seumpama ini adalah untuk melahirkan pelawak berkualiti bagi mengisi ruang yang ada sekali gus boleh digilap menjadi pelapis kepada pelawak-pelawak komersial tempatan sedia ada.

“Semoga pencarian edisi 2022 pada kali ini mampu meneruskan legasi penganjuran tahun-tahun terdahulu,” katanya.

BARISAN juri Awesome Raja Lawak yang akan bergilir-gilir turun padang ke sesi uji bakat bagi mencari bakat baharu pelawak.

Justeru, bagi mencari pelapis bidang komedi, pihak produksi Awesome Raja Lawak akan turun padang dan menjelajah ke empat buah negeri di seluruh Malaysia bagi mengadakan sesi uji bakat terbuka.

Seramai enam pelawak terkenal tanah air seperti Jalil Hamid, Azlee Senario, Ajak Shiro, Atu Zero, Ali Puteh dan Mamak Puteh turut dilantik sebagai juri dan akan bergilir-gilir turun padang bagi mengadili sesi tersebut.

Selain itu, Chiwan dan Nizam Jentik-Jentik turut menggamit dan memeriahkan suasana selaku hos uji bakat.

Barisan juri uji bakat akan menilai calon peserta berdasarkan beberapa kriteria pemilihan seperti tahap kelucuan dan elemen jenaka dalam sesebuah persembahan, keaslian persembahan dan kreativiti, bakat serta kemahiran lakonan sama ada peserta berpotensi diketengahkan sebagai pelawak terkenal.

Sesi uji bakat sudah dimulakan pada 4 dan 5 Jun lalu bertempat di Berjaya Megamall Kuantan, Pahang dan diteruskan pada 11 dan 12 Jun bertempat di Prangin Mall George Town, Pulau Pinang.

Dua lagi lokasi uji bakat akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru pada 18 dan 19 Jun nanti dan terakhir di Lembah Klang pada 25 dan 26 Jun. Tempat uji bakat akan dimaklumkan kelak.

Penyertaan terbuka kepada seluruh warganegara Malaysia dan Singapura yang berumur 18 tahun ke atas dan mestilah mempunyai bakat dan minat dalam bidang komedi.

Calon peserta bebas memilih menyertai pertandingan tersebut secara solo, duo atau trio dan perlu membuat persembahan pentas secara spontan untuk menarik perhatian juri dalam tempoh maksimum tiga minit.

Kaunter pendaftaran bagi sesi uji bakat di setiap lokasi dibuka bermula pukul 8 pagi dan calon peserta digalakkan untuk hadir lebih awal bagi mengelakkan kesesakan.

Mereka yang berminat perlu membawa salinan kad pengenalan atau pasport untuk warga Singapura serta gambar berukuran 4R (gambar profil dan paras pinggang) atau ukuran pasport.

Awesome Raja Lawak akan bersiaran secara eksklusif di Awesome TV menerusi platform Astro (Saluran 123) dan MyTV (Saluran 112) bermula Julai depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI