fbpx

Mia Sara tak guna ‘kabel’ Afdlin Shauki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MIA SARA SHAUKI

BENARLAH kata pepatah, ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi. Frasa tersebut sememangnya sesuai dipadankan untuk kamus kerjaya seni pendatang baharu, Mia Sara Shauki.

Dilahirkan sebagai anak kepada aktor terkenal tanah air, Datuk Afdlin Shauki, wanita tinggi lampai itu mengakui tidak mampu lari dari bayangan populariti bapanya.

Sebagai seorang anak selebriti ternama, dia yang mesra disapa sebagai Mia enggan mengambil peduli segala dakwaan meskipun fitnah yang menuduhnya menggunakan status Afdlin sebagai ‘kabel besar’ untuk bertapak sebagai pelakon.

Ujar anak kelahiran Kuala Lumpur itu, keberadaannya dalam industri hiburan adalah kerana kecintaan terhadap dunia seni yang membuak-buak dalam dirinya.

Tanpa ragu, perkara tersebut sekali gus membuktikan darah seni daripada bapanya sememangnya mengalir dalam tubuh pelakon berusia 23 tahun itu.

‘Semuanya usaha sendiri’

Tenang menjawab segala pertanyaan media, dia yang pernah membintangi filem Papadom 2 itu menjelaskan, selama ini dirinya menggunakan segala usaha sendiri untuk berada di posisi hari ini.

“Saya tak kisah pun orang nak cakap saya guna pengaruh papa untuk membina nama sebagai pelakon.

“Sebab ramai yang tidak tahu bagaimana saya memberi 150 peratus usaha untuk mendapatkan apa yang diinginkan. Tiada istilah guna kabel bapa pun,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan Histeria The Series baru-baru ini.

SEBAGAI pendatang baharu, Mia pernah melalui pengalaman ditolak menjadi sebahagian projek sebuah rumah produksi terkenal tanah air.

Tetapi dia juga tidak berat hati untuk menerima sebarang tawaran daripada bapanya suatu hari nanti.

“Jika nanti papa nak beri saya sebarang tawaran sekali pun, saya akan jadi sangat pentingkan diri jika menolak tawaran tersebut.

“Saya faham dia pasti mahukan yang terbaik untuk anak-anaknya dan agak ‘kejam’ jika saya menolaknya.

“Namun, ingin ditegaskan, kebanyakan watak yang saya lakonkan sehingga kini, saya dapat dengan usaha sendiri, hadir ke uji bakat dan bersaing dengan pelakon lain,” kongsinya.

Pesanan papa

Ditanya tentang sokongan daripada seorang ayah kepada anak perempuan, Mia mengakui Afdlin tidak begitu merestui keputusannya untuk bergelar anak seni.

“Pada peringkat awal, papa memang tak sokong saya sertai industri seni. Malah dia pernah nasihatkan saya supaya mengambil jurusan perniagaan atau undang-undang untuk masa depan yang lebih terjamin.

“Mungkin dia faham situasi sebenar yang berlaku dalam industri hiburan tempatan dan disebabkan itu dia agak kurang merestui pilihan saya.

“Namun, selepas melihat minat saya dalam bidang ini, dia benarkan juga tetapi papa tetap memberi amaran agar sentiasa bersedia dengan semua sepak terajang dunia hiburan,” katanya panjang lebar.

BERBANDING filem genre lain, Mia mengakui lebih tertarik dan meminati naskhah seram sekali gus terharu kerana diberi kepercayaan menjayakan drama Histeria The Series.

Sungguhpun begitu, Mia memberitahu, bapanya turut menitipkan pesanan agar dia mempersiapkan mental bagi menghadapi apa sahaja onak duri sebagai seorang selebriti.

“Pesannya, jika sudah tekad untuk bekerja sebagai anak seni, mental perlu bersedia berdepan dengan pelbagai kesukaran. Akan ada banyak percanggahan pendapat dan pelbagai hukum yang akan dijatuhkan kepada kita.

“Saya tidaklah bersedia sepenuhnya tetapi perlahan-lahan untuk membiasakan diri dengan situasi semasa. Saya juga sudah tetapkan dalam fikiran, perlu kuat menghadapi sebarang kecaman,” ujarnya.

Bukti kemampuan

Berkongsi mengenai drama terbaharu lakonannya, Histeria The Series, perasaan teruja dan bersyukur menyelubungi jiwanya apabila diberikan kepercayaan memegang watak utama sebagai Alia.

Ujarnya, diberi peluang bekerja bawah projek arahan James Lee tersebut diibaratkan sebagai satu penghargaan buat dirinya sebagai pendatang baharu.

SELAIN Mia, Histeria The Series menampilkan pelakon pelapis antaranya (dari kiri) Sharifah Aryana, Amelia Christie dan Serra Kamal (kanan).

“Siapa yang tidak teruja, saya memandang peluang ini sebagai satu rezeki kerana dapat berlakon dengan pelakon senior yang lain seperti Nam Ron, Liyana Jasmay, Farah Ahmad dan Ziana Zain.

“Pada mulanya James minta saya datang uji bakat, tetapi saya tak hadir sebab belum ada keyakinan pegang peranan yang besar.

“Namun, selepas lima bulan saya diminta sekali lagi datang uji bakat dan berjaya terpilih. Papa ada juga beritahu, dapat berlakon bawah arahan James adalah satu peluang yang tak harus dilepaskan mana-mana pelakon,” ujarnya lagi.

Selain Mia, drama berkenaan turut dibintangi beberapa pelakon muda lain seperti Sharifah Aryana Syed Zainal Rashid Al-Yahya, Amelia Christie dan Serra Kamal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI