ISTANBUL, TURKI – Bekas teman lelaki seorang Ratu Cantik Turki bebas daripada pertuduhan melakukan serangan seksual selepas mahkamah mendapati dia mengoyakkan pakaian dan memukul dirinya sendiri, lapor akhbar Daily Star kelmarin.
Dilara Kursun, 25 memberitahu polis bahawa Tayfun Kilic, 28, membawanya ke sebuah kawasan hutan dengan menaiki kereta.
Tertuduh kemudian didakwa mengoyakkan pakaian sebelum memukul dan melakukan keganasan seksual terhadap mangsa selepas wanita itu memutuskan hubungan mereka.
Tayfun berdepan hukuman penjara 20 tahun sekiranya didapati bersalah dalam kejadian itu yang berlaku pada 16 Jun tahun lalu .
Dia bagaimanapun dibebaskan daripada pertuduhan selepas mahkamah memutuskan bahawa Dilara mencederakan dirinya sendiri bagi memerangkap defendan.
Pada Mei tahun lalu, kedua-duanya dilaporkan telah berpisah, namun tertuduh cuba untuk memenangi kembali hati penyandang gelaran ratu cantik Miss Turkey 2016 itu selama berminggu-minggu.
Menurut tertuduh, mereka hanya keluar makan bersama di sebuah restoran tepi pantai sebelum Dilara secara tiba-tiba mengambil kunci keretanya dan beredar.
“Kira-kira sejam kemudian, dia datang mengambil saya dan kembali ke rumah saya sebelum menghubungi teksi untuk pulang.
“Saya mendesak agar Dilara tidak pergi meninggalkan saya. Saya juga memberitahunya agar jangan menghubungi polis, namun dia tetap melakukan demikian,” ujar Tayfun.
Tayfun sebelum ini didakwa kerana melakukan serangan seksual, penghinaan dan ugutan, namun menafikan semua tuduhan terhadap dirinya.
Mahkamah menggugurkan kesemua pertuduhan kerana tidak mempunyai bukti kukuh dalam kes tersebut. – Agensi