fbpx

Mahasiswa UM, V. Kueggan bangga harumkan nama negara dalam sukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
V. KUEGGAN minati karate sejak berusia lima tahun.

TEMASYA sukan terbesar di Asia Tenggara, Sukan SEA 2021 yang berlangsung di Hanoi, Vietnam telah melabuhkan tirainya baru-baru ini.

Kontinjen negara berjaya mencapai sasaran ditetapkan oleh Majlis Sukan Negara apabila berjaya meraih 39 pingat emas, 45 perak dan 88 gangsa.

Antara sukan yang menunjukkan prestasi cemerlang adalah karate kumite apabila berjaya membantu negara membawa pulang empat pingat emas dan enam gangsa.

Salah satu acara yang berjaya membawa pulang emas adalah Karate Kumite berpasukan lelaki apabila berjaya menewaskan Indonesia dengan kiraan 3-0 pada perlawanan akhir.

Pasukan tersebut dianggotai oleh V. Kueggan bersama Sharmendran, Sureeya, S. Prem Kumar, S. Geerijaieswaran, Arif Afifuddin Ab. Malik dan G Katish.

Bagi V. Kueggan, dia cukup puas dan apabila berjaya membantu negara memenangi emas ke-36 negara pada Sukan SEA Hanoi, sekali gus mencapai sasaran ditetapkan.

“Saya sangat bangga dapat memenangi emas pada penampilan di Sukan SEA. Kejayaan ini tidak datang mudah, sebaliknya ia penuh berliku.

“Kejayaan ini hasil daripada komitmen tinggi saya dan rakan-rakan yang berlatih tidak kenal penat lelah sewaktu sesi latihan,” katanya ketika ditemu bual iGen baru-baru ini.

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu berkata, dia cukup yakin mendapat pingat emas dalam kategori berpasukan di Hanoi selepas menjuarai Kejuaraan SEA Karate Federation (SEAKF) pada Mac lalu.

ATLET karate berpasukan lelaki negara berjaya menewaskan Indonesia 3-0 pada perlawanan akhir di Sukan SEA Hanoi, sekali gus memberikan kilauan emas dalam pungutan pingat buat negara.

Jelasnya, kejayaan di SEAKF berjaya membakar semangat pasukan, selain menjadi pentas terbaik bagi pasukan mempersiapkan diri sebelum bertolak ke Hanoi.

“Setelah berjaya mendapatkan emas di SEAKF, saya yakin untuk memenangi pingat pada temasya Sukan SEA 2021. Ini kerana, lawan kami adalah orang sama ketika SEAKF,” katanya lagi.

Mengulas mengenai minatnya dalam karate, penuntut Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Sukan, Universiti Malaya itu berkata, ia bermula sejak berusia berusia lima tahun.

Menurutnya, minat tersebut hadir selepas V. Kueggan sering menghantar abangnya ke pusat latihan karate sebelum dia akhirnya menceburkan diri dalam sukan itu sewaktu sekolah rendah.

“Kami ada empat adik-beradik lelaki, semuanya minat karate. Ia bermula daripada abang, dan kemudian saya pula terlibat sama dengan sukan ini. Sebelum itu, saya sering mengikut bapa menghantar abang berlatih.

“Minat ini disokong kuat oleh bapa, Vijayakumar. Bapa tidak akan pernah jemu untuk menghantar saya ke sesi latihan. Malah, dia akan memarahi saya jika tidak menghadirinya.

“Sokongan dan keyakinan yang diterima sangat membantu dalam perkembangan prestasi saya selama ini. Saya yakin bapa mahu melihat lebih banyak kejayaan selepas ini,” jelasnya.

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu menjadikan abangnya yang juga pemenang pingat gangsa di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 sebagai idola.

Sepanjang penglibatan dalam karate, V. Kueggan pernah melalui beberapa detik duka termasuk mengalami kecederaan serius iaitu anterior cruciate ligament (ACL) di kedua-dua kakinya.

Dia juga menerima kekalahan di peringkat separuh akhir dan hanya membawa pulang pingat gangsa pada Sukan Malaysia (Sukma) 2018 dalam acara karate kumite bawah 60 kilogram.

“Saya jadikan kekalahan pada Sukma 2018 sebagai pembakar semangat untuk menang di Sukan SEA 2021. Kekalahan saya pada pusingan separuh akhir dulu bukanlah sesuatu yang sia-sia,” katanya.

Sebagai seorang mahasiswa, V. Kueggan mengakui, dia menghadapi kesukaran untuk membahagikan masa antara pelajaran dan sukan.

Jelasnya, dia tidak mempunyai sebarang jadual khusus setiap hari, sebaliknya meluangkan masa yang lebih terhadap perkara yang dilihat penting.

“Soal masa ini memang menjadi masalah kepada saya. Saya berlatih pada waktu pagi dan petang. Jadi, masa belajar saya antara pukul 9 pagi hingga 4 petang.

“Waktu berkenaan saya perlu manfaatkan bagi menyelesaikan setiap tugasan serta mengulang kaji pelajaran ketika peperiksaan,” terang remaja yang memiliki ketinggian 177 sentimeter itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI