fbpx

Johor Jewels belasah Melaka Mystic 68-24

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAYANI (tengah) menjadi benteng ampuh buat pasukan Johor Jewels sehingga Melaka Mystic sukar menembusi untuk menjaringkan gol pada aksi Sooka NSL 2022 di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam. – AFIQ RAZALI

JOHOR Jewels mengekalkan aksi tanpa kalah pada saingan Sooka Netball Super League (NSL) 2022 selepas mudah membenam cabaran pasukan tercorot, Me­laka Mystic dengan kemenangan 68-24.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam, Johor langsung tidak menunjukkan belas kasihan terhadap Melaka apabila melancarkan serangan demi serangan.

Kemasukan penyerang kebangsaan, An Najwa Azizan pada suku masa kedua terus menambah sengat jentera serangan Johor dan memastikan mereka selesa mendahului perlawanan dengan kedudukan 32-10.

Memasuki suku masa ketiga, Melaka cuba melakukan yang terbaik bagi menambah jaringan serta merapatkan kedudukan, namun sukar untuk menembusi penjaga gol (GK) Johor dari Sri Lanka, Gayani Samanthika.

Sebaliknya, Johor yang dibimbing Fazira Mesnan menampilkan aksi lebih agresif menerusi gerakan pemain tengah, Nurfariha Abdul Razak serta penyudah tajam An Najwa bagi memimpin perlawanan 52-20.

Pada suku masa keempat, perlawanan tidak banyak berubah apabila Johor masih melancarkan serangan demi serangan meskipun mengeluarkan An Najwa dan memasukkan penyerang import dari Thailand, Sirima Samnaree.

Johor dilihat sedikit mengendurkan serangan pada penghujung perlawanan, namun ia tidak menghalang pasukan dari Selatan tanah air itu untuk menamatkan saingan dengan kemenangan 68-24.

Kemenangan itu sekali gus memberi suntikan semangat buat Johor menjelang aksi lebih sukar menentang pasukan ketiga terbaik musim lalu, Selangor Angels yang dijadualkan berlangsung Ahad ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI