JOHOR BAHRU – Jemaah masjid dan surau di negeri ini kini dibenarkan untuk merapatkan saf mereka bagi aktiviti solat berjemaah berkuat kuasa pada hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan solat berjemaah itu mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai Ketua Agama Islam Negeri.
Beliau berkata, walaupun dibenarkan solat berjemaah dengan cara merapatkan saf, setiap jemaah yang hadir digalakkan membawa sejadah sendiri.
“SOP itu juga bagaimanapun masih menetapkan supaya jemaah wajib untuk memakai pelitup muka ketika berada di dalam ruang masjid dan surau manakala bersalaman antara jemaah tidak digalakkan.
“Aktiviti pengimarahan masjid dan surau seperti Kelas Pengajian Takmir, Kuliah Subuh, Kuliah Dhuha, Majlis Zikir dan seumpamanya adalah dibenarkan,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Islam Iskandar, di sini hari ini.
Pada 28 Mac lalu, Johor membenarkan pelaksanaan solat berjemaah di masjid dan surau dengan cara merapatkan sejadah tanpa bersentuhan antara jemaah dalam fasa peralihan endemik.
Ketika itu, jemaah hendaklah membawa sejadah sendiri berukuran sekurang-kurangnya satu meter panjang dan 0.6 meter lebar serta lengkap dua dos suntikan vaksin.
Mohd. Fared menambah, segala aktiviti memasak dan jamuan adalah dibenarkan dalam kawasan masjid dan surau termasuk aktiviti yang melibatkan bermalam turut dibenarkan. -KOSMO! ONLINE