SEDANG menjadi antara salah satu ikon penyanyi solo K-pop paling terkenal ketika ini, Jessi tidak terlepas berdepan kritikan.
Sejak membuat kemunculan semula pada 2016, penyanyi lagu Nunu Nana itu pernah dikecam hebat kerana pembedahan plastik.
Biarpun pembedahan plastik menjadi norma di Korea Selatan terutama dalam industri hiburan, tetapi penyanyi itu diserang kerana melakukan perubahan yang ketara pada wajah dan badannya.
Malah tindakan Jessi yang menggelapkan kulitnya turut menjadi isu kerana netizen memandang perbuatan tersebut lari daripada standard kecantikan idola K-pop.
Pun begitu baru-baru ini, Jessi menjadi bahan bualan gara-gara pendedahan seorang netizen mendakwa adiknya disekat penyanyi itu dalam Instagram.
Dedah netizen itu dalam TikTok, adiknya yang berusia 15 tahun menulis komen menegur warna kulit Jessi kelihatan semakin gelap.
“Bila dia buka profil Instagram Jessi, tertera ‘user not found’. Cuba beritahu kenapa profilnya tiba-tiba tidak dijumpai.
“Perkara paling kelakar, adik saya peminat besar Jessi. Tapi apa pun, sekurang-kurangnya Jessi perasan dia (menerusi komen itu),” katanya.
Pendedahan tersebut menerima banyak respons daripada netizen lain yang sesetengahnya memihak kepada peminat itu, bahkan ada juga yang membela Jessi.