PETALING JAYA – Berdepan dengan masalah penipuan dalam dunia perniagaan adalah satu lumrah yang pastinya diuji bagi mana-mana usahawan sama ada daripada syarikat bersaiz kecil atau besar.
Cara mana untuk berdepan dan keluar daripada masalah tersebut, bergantung kepada kekuatan semangat dan usaha masing-masing.
Berbeza bagi dua rakan kongsi niaga syarikat Ezcare Warranty Sdn. Bhd. (Ezcare) apabila mereka melihat masalah ketirisan dan penipuan yang dialami sepanjang 11 bulan tahun pertama syarikat telah memberi rahmat besar buat mereka.
Ia memberi peluang untuk mereka bangkit kembali sekali gus berjaya menawan industri penyediaan perkhidmatan program jaminan selepas pasaran untuk kereta import terpakai dan kereta terpakai.
Pengasas syarikat, Ahmad Ibrahim, 43 dan pengasas bersamanya, Amirul Akmar, 38, menyifatkan ilmu dan pengalaman setelah ditipu bekas kakitangan bengkel serta beberapa bengkel yang lain bernilai kira-kira RM400,000 dianggap sebagai segulung ijazah yang tidak ternilai harganya sehingga mereka kini berjaya membangunkan empayar Ezcare.
“Pada tahun pertama kami sibuk di barisan hadapan untuk mencapai sasaran jualan tetapi telah dikejutkan dengan satu isu berkaitan tuntutan pembayaran bagi satu barang alat ganti sebuah kereta mewah bernilai RM18,000 sedangkan harga semasa hanyalah RM6,000.
“Di situ saya membuat pemeriksaan mengejut dengan melihat transaksi dokumen dari bengkel tersebut, didapati mereka telah memanipulasi tuntutan yang mana terdapat pelbagai tuntutan palsu yang mencurigakan.
“Selepas dikira, nilai wang yang ‘bocor’ ke luar adalah kira-kira RM110,000 sebulan.
“Ekoran kejadian itu, kami jadi murung dan buntu hampir dua minggu memikirkan cara penyelesaiannya sehinggalah kami duduk semula berbincang dan nekad untuk terus memulakan langkah baharu,” kata Amirul ketika ditemui di pejabat Ezcare baru-baru ini.
Ezcare adalah sebuah syarikat bumiputera yang menawarkan perkhidmatan jaminan selepas pasaran untuk kereta import terpakai dan kereta terpakai lengkap dengan konsep bengkel terbuka serta perkhidmatan penyelenggaraan kenderaan dari pintu ke pintu melalui unit bergerak syarikat.
Sebelum ini, industri penyediaan jaminan khususnya kepada kereta import terpakai dan kereta terpakai sering berdepan dengan masalah tuntutan yang tidak dibuat secara menyeluruh dengan nilai tuntutan yang tidak munasabah.
Turut berlaku ketirisan jumlah pembayaran dan akhirnya pelanggan atau pemilik kereta akan berdepan dengan pelbagai masalah berkaitan tuntutan.
Sebagai contoh nilai jaminan selepas pasaran untuk kereta terpakai import seperti Toyota Vellfire adalah RM3,000 setahun tetapi melalui kemudahan yang disediakan oleh Ezcare, nilai premium yang dikenakan hanyalah kira-kira RM1,500 setahun.
Menyedari kekurangan yang mana tiada lagi syarikat bumiputera yang terlibat secara serius dalam bidang tersebut, Ahmad yang berasal dari Jengka, Pahang yang memiliki pengalaman meluas dalam bidang automotif telah bekerjasama dengan Amirul, anak kelahiran Kuala Lumpur itu berkongsi idea, keringat dan formula untuk membangunkan Ezcare yang beribu pejabat di Subang Bestari.
Mengulas lanjut, pada peringkat awal perniagaan, kedua usahawan ini berdepan dengan cabaran sukar untuk mempromosikan produk dalam kalangan pengedar kereta.
“Ada yang mencemuh, memperlekehkan dan pernah juga kertas promosi yang diedarkan terus direnyuk dan dibuang ke dalam tong sampah di hadapan mata kami.
“Namun, ada juga pengedar kereta yang menaruh harapan dan memberi kepercayaan serta peluang kepada kami untuk mencuba pakej yang ditawarkan terlebih dahulu sebagai tanda sokongan selain mahu memberi manfaat kepada pelanggan (pemilik kereta) masing-masing.
“Kini, ramai telah mempercayai akan keberkesanan pelan yang ditawarkan malah ada yang cuba meniru formula produk kami. Ada juga yang datang untuk bekerjasama dengan kami agar dapat memberi manfaat kepada semua dalam industri ini,” jelasnya.
Tambah Ahmad, antara usaha lain syarikat adalah dengan melancarkan pakej jaminan terbaik pernah diperkenalkan di pasaran iaitu Pelan Prima pada tahun 2018 yang melonjakan jualan sekali gus menaikkan imej syarikat.
Seiring perkembangan itu, Ezcare juga membuka cawangan di Johor, Pulau Pinang dan ke Pantai Timur sehingga meluas ke seluruh negara bagi memenuhi permintaan yang terus bertambah.
Tahun 2018 adalah fasa cemerlang buat Ezcare dan ia terus berkembang hingga kini dengan pengenalan Pelan Waranti Millennia yang ditambah baik untuk manfaat pelanggan serta perancangan lain untuk mengukuhkan kedudukan syarikat.
“Kami tidak menyangka kami kini berjaya berada di tahap sekarang
“Antara rahsia kejayaan kami adalah idea kreativiti, fokus menawarkan perkhidmatan terbaik kepada pengedar dan juga bengkel kereta serta memiliki kumpulan penilai (adjuster) yang amanah dan cekap,” jelas Ahmad dan Amirul yang sentiasa memiliki keserasian mengoperasikan perniagaan tanpa ada sebarang perselisihan faham selama ini. -KOSMO!ONLINE