PETALING JAYA Capri- Selepas dua tahun berjaya terhindar daripada dijangkiti, penyanyi rap sensasi DaddyCap atau lebih dikenali Caprice akhirnya tidak terkecuali menjadi penyumbang angka rekod pesakit Covid-19 di Malaysia.
Berkongsi nasib yang menimpa dirinya, pemilik nama penuh Ariz Ramli, 34, itu berkata, jangkitan tersebut dikenal pasti selepas mengalami simptom seperti demam dan batuk yang teruk sejak dua hari lalu.
“Selepas dua tahun berjaya selamat daripada Covid-19, akhinya kena juga.
“Alhamdulillah saya sudah demam sejak dua hari lalu tetapi semakin teruk seterusnya ambil keputusan untuk melakukan dua ujian calitan kendiri dan hasilnya positif,” tulisnya menerusi satu hantaran Instagram hari ini.
Pelantun lagu Baby Sayang itu turut meminta pendapat pengikut Instagramnya sama ada perlu ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut atau sekadar menjalani kuarantin kendiri di rumah.
“Suhu demam tinggi, batuk yang teruk dan hidung tersumbat. Perlukah saya ke hospital?
“Ada sesiapa mempunyai pengalaman dengan Covid-19, apa yang boleh saya amalkan dari rumah?
“Saya akan ikhtiar mengambil ubat-ubatan, vitamin C dan air kelapa untuk kembali sembuh, insya-Allah,” ujarnya.
Malah, dia juga yakin penyakit tersebut merupakan cara yang dihantar oleh Tuhan untuk dirinya berehat daripada melakukan sebarang kerja.
“Mungkin ini juga cara untuk suruh kita berehat. Insya-Allah saya akan kembali bekerja tidak lama lagi.
“Minta maaf semua, saya akan lakukan sehabis baik untuk melawab jangkitan ini,” katanya lagi.
Caprice bagaimanapun tidak memaklumkan sama ada isteri tercinta iaitu Farra Inalis turut dijangkiti ataupun tidak.
Sementara itu, rata-rata netizen berkongsi pelbagai tips dan pengalaman berkaitan Covid-19 termasuk cara untuk menurunkan suhu demam panas dan mengurangkan sakit tekak. – KOSMO ONLINE