BOLEH dikatakan seperti budaya baharu ketika ini, apa sahaja kelakuan atau tingkah laku baik seperti menderma perlu ditunjuk dan ditampilkan dalam media sosial masing-masing.
Tidak kira di peringkat mana, banyak sekali contoh-contoh yang boleh kita lihat di media sosial terutamanya menerusi platform TikTok yang memaparkan aktiviti tersebut adalah derma ikhlas.
Memang kita tidak boleh menilai niat sebenar para penderma tersebut, tetapi persoalannya adakah perlu dikongsi dan ditunjuk dalam media sosial masing-masing?
Di mana keikhlasan dan pahala yang sepatutnya kita dapat.
Walaupun ada yang memaklumkan perbuatan menayangkan derma itu adalah dari sudut positif dengan niat hendak mendidik orang ramai yang menonton video derma berkenaan, tetapi merakam dan menunjukkan kepada khalayak sebenarnya tidak sepatutnya berlaku.
Ada individu yang menghulurkan duit belanja kepada ibu bapa mereka, ada yang membantu orang susah di tepi jalan dan ada juga yang menghulurkan bantuan kepada anak murid sendiri di sekolah.
Mereka berbuat demikian kerana sedih dan terkesan dengan keadaan orang yang dibantu tersebut atau mungkin berharap keikhlasan yang diberikan itu mendapat pujian ramai.
Itu belum lagi ada individu yang sudah bergelar ustaz telah menjelajah ke serata dunia untuk menghulurkan bantuan.
Ramai yang menyokong usaha murni tersebut tetapi mengapa perlu bawa pasukan media sendiri dan merakam gambar serta video mengenai misi bantuan terbabit.
Terkait dengan kisah menarik seorang lelaki dari Melaka yang mendapat gelaran sebagai ‘Abang Viva’ kerana membantu mangsa-mangsa banjir tanpa ada sebarang niat sehingga menjadi tular pada tahun lepas.
Namun, kisah tular itu bukannya daripada kamera yang dirakam oleh pasukannya tetapi dilakukan oleh orang sekeliling yang melihat kesungguhan pemuda itu dalam membantu mereka yang terkesan kejadian bah besar di Lembah Klang.
Perkataan viral atau tular seperti sudah sebati dalam kehidupan kita ketika ini, sampaikan apa-apa tindakan pihak berwajib juga perlu diviralkan dahulu sebelum bertindak.
Penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus pernah berkata, sifat menunjuk pada asalnya adalah hukumnya harus tetapi boleh berubah menjadi haram kalau tujuannya tidak betul.
“Sebagai contoh, ada kawan yang menyuruh tunjukkan gambar rumah kita di Facebook kerana tidak dapat lihat sendiri, maka kita tunjukkan. Maka itu hukumnya harus kerana bermaksud memaklumkan.
“Kalau kita muat naik di media sosial kerana ingin menunjuk dan membuktikan kita lebih hebat daripada orang lain maka hukumnya haram,” katanya.
Jadi melihat kepada situasi ini, peranan serta penggunaan media sosial pada dasarnya boleh menyebabkan penggunanya mendapat dosa kering jika ada niat yang sebaliknya. Namun jika digunakan secara baik maka pahala bakal ditulis. -KOSMO! ONLINE