PASIR MAS – Seorang buruh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol anak kandungnya di rumah mereka di Tanah Merah dekat sini, dua minggu lalu.
Tiada sebarang pengakuan direkodkan oleh tertuduh yang berusia 39 tahun selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah, Rozaidi Yaakob.
Pertuduhan kes akan disebut semula di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen di sini pada 15 Ogos depan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol seorang remaja perempuan yang berusia 14 tahun satu bulan tanpa kerelaannya.
Kesalahan itu dilakukan olehnya di sebuah rumah di Tanah Merah dekat sini kira-kira pukul 12 tengah malam pada 31 Mei lalu.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376(2) kanun sama yang memperuntukan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Syafiq Aizat Nazri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Ahmad Syafiq tidak menawarkan sebarang jaminan kerana tertuduh didakwa di bawah kesalahan yang serius.
Rozaidi tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 15 Ogos depan untuk sebutan semula kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen di sini.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, seorang buruh dicekup selepas dipercayai memperkosa anak kandungnya yang kini berusia 14 tahun di rumah mereka di sebuah taman perumahan di Tanah Merah dekat sini sejak empat tahun lalu.
Suspek ditahan selepas remaja itu dan guru kaunseling di sekolahnya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah di sini kira-kira pukul 11.55 pagi pada 31 Mei lalu.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, mangsa dipercayai pengsan di dalam kelas semasa berada di sekolah ekoran mengalami tekanan dipercayai akibat memendam perasaan selepas dirogol bapanya. – KOSMO! ONLINE