BUKAN masanya untuk meratapi kekalahan!
Itu mesej ringkas yang mungkin mahu disampaikan pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon selepas akur tewas 2-1 kepada Bahrain pada aksi kedua Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.
Dengan apa yang dipersembahkan pemain, jurulatih dari Korea Selatan itu kekal positif dan menyifatkan keputusan berkenaan bukan penutup kepada perjuangan Harimau Malaya.
“Pertukaran (dalam kesebelasan utama) adalah perancangan kami tetapi ia tetap membuahkan hasil dan kami mampu menjaringkan gol. Ini bukannya penamat dan bola sepak akan terus dimainkan.
“Soalnya sejauh mana kami belajar dan mampu meningkatan permainan. Kami tidak boleh berasa kesal sebaliknya perlu kekal yakin dan rasa bangga dengan apa yang sudah pemain lakukan.
“Sekarang kami akan membuat penilaian dan kekal fokus untuk hadapi perlawanan selepas ini,” katanya ketika sidang media selepas perlawanan, kelmarin.
Pada perlawanan itu, Malaysia terlebih dulu membuka jaringan menerusi Mohamadou Sumareh, namun Bahrain pamer kebangkitan untuk memperoleh dua gol daripada Ali Abdula Haram dan Abdulla Yusuf Helal.
Ketika ditanya mengenai kesilapan penjaga gol negara, Farizal Marlias yang menjatuhkan pemain lawan dalam kotak penalti, Pan-gon kekal dengan prinsipnya untuk tidak memberikan komen secara individu.
“Saya tidak akan bercakap tentang seseorang dan barisan kejurulatihan akan buat analisa serta keputusan. Dalam keadaan ini, pemain sudah lakukan apa yang termampu, namun sudah pasti kami perlu perbaiki kesilapan mudah.
“Saya tidak boleh merungut tentang pemain kerana kami tidak boleh terus melompat dari bawah hingga kedudukan paling atas. Kami perlu belajar daripada sebarang kesilapan dan tidak boleh lepaskan peluang ini untuk layak,” katanya.