PASIR PUTEH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan melupuskan dua bot nelayan Vietnam menggunakan kaedah musnah dan pecah di Pusat Tahanan Vesel (PTV) APMM di Tok Bali di sini hari ini.
Timbalan Pengarah (Operasi) APMM Kelantan, Komander Maritim Khairun Dalilah Baharin berkata, pihaknya menggunakan jengkaut untuk memecahkan kedua-dua buah bot yang telah reput dan tidak sesuai untuk dijadikan tukun tiruan itu.
Menurutnya, bot-bot ditahan semasa Op Damai selain Op Kuda Laut pada bulan Februari dan April tahun lalu sebelum ia dilucut hak oleh pihak mahkamah pada bulan November tahun yang sama.
“Selain itu, kita turut menahan seramai 12 nelayan termasuk tekong dengan rampasan 100 kilogram (kg) ikan, 30 kg gamat, 7,350 liter diesel, peralatan navigasi dan alat menangkap ikan yang dianggarkan bernilai RM2.06 juta bersama kedua-dua buah bot tersebut.
“Kesemua nelayan warga Vietnam itu telah telah disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 dengan denda sebanyak RM3.1 juta, namun mereka memilih untuk menjalani hukuman penjara selama tujuh tahun,” katanya pada sidang akhbar di PTV APMM Kelantan, Tok Bali di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, menurut Khairun Dalilah, sebanyak lima buah bot nelayan asing Vietnam telah dilupuskan melalui kaedah penenggelaman sebagai tukun dan musnah pecah dengan nilai anggaran RM7.56 juta pada tahun ini.
Katanya, selain itu, sebanyak 18 bot yang dilucut hak telah dilupuskan secara musnah dan pecah dengan nilai anggaran RM26.06 juta sejak 2007.
“Secara keseluruhannya, APMM Kelantan telah melupuskan sebanyak 251 bot nelayan asing Vietnam melalui pelbagai kaedah dengan anggaran nilai lebih RM375 juta,” katanya – KOSMO! ONLINE