SAUDARA PENGARANG,
SEBAGAI ibu bapa, saya berasa terkilan dengan keputusan yang dibuat Kementerian Pendidikan (KPM).
Hampir setiap bulan ada sahaja pengumuman mengenai pembaharuan dalam sistem pendidikan. Bagi kami, ada kalanya keputusan itu dibuat terlalu drastik tanpa kajian terperinci dan pandangan daripada semua pihak.
Terbaharu pemansuhan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dilihat sesuatu yang mengejutkan banyak pihak kerana sejak dulu lagi penilaian ke atas pelajar berdasarkan peperiksaan sama ada peringkat rendah atau menengah.
Sebagai bekas pelajar dan ibu bapa, sistem peperiksaan ini adalah ‘alat’ terbaik untuk menentukan keberkesanan kaedah pengajaran.
Ini kerana guru mendapat peluang untuk memantau dan menilai keadaan pengajaran mereka mengikut kemajuan pelajar masing-masing.
Sistem peperiksaan juga menggalakkan persaingan antara pelajar dan mereka akan belajar lebih keras untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka.
Justeru, saya berharap keputusan yang diambil KPM adalah keputusan yang tepat dan tidak membebankan pelajar dan guru yang sedia terbeban.
Saya tidak mahu pelajar kini menjadi ‘tikus makmal’ kepada sistem pendidikan ketika ini dan pihak KPM juga haruslah menilai secara terperinci sebelum mengubah atau membuat sesuatu keputusan selepas ini.
Bapa Prihatin
Jelebu, Negeri Sembilan