PETALING JAYA – Kesedaran dua nelayan mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membantu membela nasib dan meringankan keperitan hidup waris masing-masing selepas mereka meninggal dunia akibat lemas minggu lalu.
Perkeso dalam satu kenyataan berkata, Abu Bakar Mohamad dan Khalid Mohamed lemas di laut ketika keluar menangkap ikan di perairan Ayer Baloi, Johor pda 2 Jun lalu. Mayat Khalid dan Abu Bakar masing-masing ditemui pada 3 serta 4 Jun lalu.
“Perkeso telah menziarahi dan menyantuni waris dua mangsa itu untuk menyampaikan faedah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.
“Balu Abu Bakar, Hirunisa Sandari menerima bantuan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM2,000 dan Faedah Orang Tanggungan (FOT) sebanyak RM567 sebulan yang dibayar sepanjang hayatnya,” kata kenyataan itu.
Sumbangan itu diserahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Pulai Sebatang merangkap Ketua Wanita UMNO Bahagian Pontian, Hasrunizah Hassan dan Pengarah LKIM Johor, Intan Suhaila Othman.
Menurut Perkeso, waris Khalid pula dibantu menerusi FPM sebanyak RM2,000 kerana kesemua anaknya berusia lebih 21 tahun.
Tambahnya, arwah Abu Bakar dan Khalid mencarum RM157.20 setahun di bawah Pelan 1 SKSPS sejak 15 Jun dan 15 Oktober tahun lalu.
“Caruman itu dibayar menerusi potongan Elaun Sara Hidup Nelayan hasil kolaborasi Perkeso dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
“Lima anak Abu Bakar juga berusia 21 tahun ke atas dan sebab itu isterinya sahaja yang layak menerima bantuan,” katanya.
Untuk rekod, sebanyak 387,884 individu yang bekerja sendiri telah mencarum dengan SKSPS sehingga 9 Jun lalu.
“Daripada jumlah itu, 34,266 pencarum adalah dari Johor. Sebanyak 33,023 nelayan aktif mencarum merangkumi 3,196 dari negeri berkenaan,” katanya.
Kenyataan itu menambah, bermula 1 Januari hingga 31 Disember ini, kerajaan melaksanakan inisiatif SPS Padanan Caruman untuk memberi perlindungan kepada lapan kategori Orang Bekerja Sendiri (OBS).
Jelasnya, caruman itu dibiayai oleh kerajaan sebanyak 80 peratus (RM186.20) manakala bakinya dibayar oleh OBS.
“Kemalangan yang tidak diduga seperti yang menimpa dua nelayan ini menekankan perlunya rakyat khususnya mereka yang bekerja sendiri dilindungi dengan skim keselamatan sosial.
“Perkeso menyeru semua pihak segera mencarum demi perlindungan buat diri sendiri dan ahli keluarga sekiranya ditimpa sebarang musibah sewaktu bekerja sendiri,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE